Selasa, Mei 17, 2011

Sastera: Pengaruh dan Kecenderungan Semasa


ERA yang lalu telah dicipta sebagai sejarah. Apa-apa gerakan pun demikianlah. Kegiatan kesenian pun sama. Kecenderungan para aktivis akan berakhir jua pada satu tempoh, ia akan dimulakan lagi oleh generasi baru, begitulah putarannya - bermula dan berakhir, kemudian bermula lagi. Inilah senarionya, yang patah tumbuh dan berganti. Ada gerakan baru, kononnya, terjadi masa ini, entah apakah ada benarnya. Pada saya ia bukan gerakan baru tetapi satu putaran yang baru dimulakan, satu gerakan masa sudah. Ia bagaimanapun menyebabkan dunia seni sastera tidak merasa dewasa, belum sempat ke arah itu, ia mati tiba-tiba.

Politik pernah mendominasikan gerakan sastera, bila orang politik terlibat ia bagaikan air yang sedang sarat selepas hujan lebat di daerah ulu. Bahasa dan Gapura bangun dibangunkan oleh gerakan politik. Kedua-duanya hebat tetapi merundum setelah tokoh-tokoh politik tidak mempedulikannya lagi. Persatuan penulis yang dimaksudkan terus bergerak tetapi banyak sekali hambatan yang terpaksa ditanggung oleh pendukung-pendukungnya.

Puisi bergema tanpa sempadan apabila Perdana Menteri sendiri menuilis dan membacakan puisinya di arus perdana, ini diikuti ramai dan menjadi gelombang yang hebat. Puisi-puisi mereka diadaptasi menjadi lagu yang popular walaupun nilai seni bukan apa-apa. Kerana merka orang politik yang berkaliber dan berpengaruh. Sastera hidup di media. Media elektronik menyediakan medannya di kaca TV kerana menterinya amat meminati puisi.

Surat khabar pernah mempunyai kerangka sastera yang hebat ketika ketua pegarangnya seorang penggerak sastera.Editor surat khabar mempengaruhi setinggi mana tahaf kreativiti puisi dan cerpen yang ia kelolakan. Di Sabah, kita boleh perhatikan paksi ini. Utusan Borneo menjadi pilihan penulis mapan berbanding Daily Express dan New Sabah Times. Pengaruh individu amat mempengaruhi dunia sastera. Pengisian begini begitu diperlukan. Pada satu ketika ia berada di pelbagai arena, kemudian hilang, jatuh dan bangunnya mengikut rentak dan pengaruh semasa.

Begitu juga yang terjadi di agensi-agensi seperti DBP di Sabah. Kita boleh perhatian bermula dari Haji Mohd Ariffin Siri hinggalah kepada pengarah yang sekarang ni, kita boleh buat paksi mereka masing-masing. Saya percaya anda yang pernah ada pada era yang lalu itu dapat mengenangnya kembali. Dan kita ingin kembali pada pasca abad 20 ini, apakah benar wujud gerakan baru dengan bergemanya pencarian hal tuju sastera di samping kedengaran suara yang lebih berani menyatakan sasteranya sudah mati! Mari kita bincangkan hal ini secara dewasa dan hujahan yang kental.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan