Jumaat, Mei 13, 2011

Sasterawan didahulukan, Keutamaan Karya Diutamakan

KITA inginkan juga kemeriahan dunia persuratan sebagaimana pernah dilalui pada dekad-dekad yang lalu. Terlalu banyak peristiwa untuk sastera yang dirakam tidak terjadi lagi ketika ini. Maksud saya, peristiwa yang seharusnya diwarisi generasi kini telah senyap, bahkan boleh juga diungkapkan sebagai telah berkubur tanpa sebarang tanda.Selalu dicari jawapan kepada pertanyaan ini: di manakah silapnya? Sekali lagi saya ingin berkata bahawa mencari kesilapan menyebabkan terlalu banyak hal-hal remeh-temeh ditemui. Menyalahkan pihak itu dan ini, individu itu dan ini yang hanya membuang waktu tanpa titik padahal jawapannya yang tepat ialah bagaimana mengatasinya.

Sering kedengaran masalah besar kegiatan sastera buntu, berbantut dengan ketara sekali disebabkan kendala kewangan. Mana-mana agensi berkaitan akan mencatatkan demikian. Seakan-akan sudah ada cop mohor untuk meletakkan jawapan yang sama. Tetapi memang benar jawapan ini betul-betul 'kurang tepat'. Ironinya ada aktiviti yang tidak begitu berkaitan tetapi tidak timbul pula soal kewangan. Inilah yang menyebabkan aktiviti persuratan menjadi layu, lesu, malas, lemas dan sebagainya lagi. Namun begitu bila mengingatkan wujud satu tanggungjawab yang lain bahawa dunia sastera tidak semestinya tertakluk kepada ada atau tidak ada kewangan, kita tidak menghadapi masalah untuk melakukan apa juga program berkaitan. Kita sudah begitu lali dengan ungkapan klise, kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan dana dan seterusnya. Dan apabila memberikan dana, kita dikejar pula untuk memberikan laporan tentang aktiviti yang dijanjikan padahal kita telah pun melakukan banyak aktiviti yang masih relevan dan menepati keperluan pemberian sesuatu dana itu.

Kerana itu saya setuju, para penulis atau penggiat bidang persuratan membuat kerja dengan gigih. Kita perlu menyatukan buah fikiran untuk mengangkat dunia sastera, dunia penulis itu dengan cara kita sendiri. Kita perlu wujudkan gerakan bertindak yang lebih efisyen, berhala tuju, bernas, berani, bermutu, tepat, telus dan sebagainya lagi kerana inilah jalan terbaik untuk menentukan dunia penulisan itu lebih dihormati. Berbeza dengan dunia kewartawanan, penulisan kreatif tidak dilihat boleh memberikan sebarang pulangan kepada mereka yang berkepentingan. Padahal inilah dunia yang sukar diterokai, hanya mereka yang memiliki bakat hebat sahaja boleh melakukannya. Sayangnya bakat yang hebat itu sering sekali diperlekeh. Jika seorang menteri boleh mengatakan citra kaum penulis ini tempatnya di muzium, apatah lagi orang awam yang lain, memperlihatkan sejauh mana sikap seseorang itu terhadap sastera kreatif. Apabila menteri yang bercakap tentang retorika seni budayanya ia hanya berupa salutan emas sedang di dalamnya kosong belaka. Seni budaya masih tertumpu hanya kepada busana dan aksesori, alatan muzik, irama etnik, tarian tradisi, langskap warisan dan tidak ketinggalan gambar-gambar kuno yang lusuh dalam lipatan sejarah masa sudah. Ini perlu diubah, perlu juga dibetulkan sebagai persepsi yang lebih sempurna, lebih menyeluruh agar dunia mengetahui bahawa dalam keunikan bangsa kita terwujud di dalamnya pelbagai elemen yang perlu didalami.

Cerita-cerita rakyat misalnya, merupakan bahagian penting kehebatan sastera bangsa kita yang harus dibanggakan, yang telah pun berkembang sesuai dengan peredaran masa. Kreativiti rakyat mencipta kisah berdasarkan peristiwa demi peristiwa membentuk sahsiah dan pemikiran masyarakat yang mewakili bangsanya. Mengapa kita tidak merasa bahagia atau setidak-tidaknya beruntung memiliki kumpulan genius yang kreatif menerusi mata pena para penulis hebat tersebut.

Kehadiran para sasterawan tidak begitu ketara berbanding profesion yang lain dalam sebarang upacara rasmi negeri. Saya melihat, apabila para penulis sendiri tidak dilibatkan dalam upacara sastera itu sendiri, apatah lagi bagi majlis-majlis rasmi kerajaan! Kepelikan ini pada saya perlu dibetulkan dan siapakah yang bertanggungjawab membetulkannya?

Melihat kembali peranan yang perlu difikirkan oleh mana-mana agensi yang diberikan amanah mengikut bidang masing-masing, kita mungkin boleh mengingatkan jangan sekali-kali mengabaikan golongan apa pun yang mereka benar-benar terlibat. Dalam konteks sastera, penulis wajar diutamakan. Sealiran dengan slogan 1 Malaysia, kita selaraskan slogan ini: sasterawan didahulukan, pencapaian karya diutamakan. Apabila ramai tokoh sasterawan veteran kita meninggalkan kita dan dunia sastera selamanya, kita tidak dapat meletakkan sesiapa kerana siapakah 'sesiapa' itu dalam barisan utama penulis yang ada masa ini. Tolong bantu saya siapakah barisan penulis yang telah mencapai status sasterawan yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Haji Ismail Abas (Amil Jaya), Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Harun Haji Salleh, K.Bali (menyebut beberapa nama utama). Setakat ini keadaan ini belum jelas dan tidak ada yang berani mengatakan apa-apa pun. Pada pengamatan penulis nama-nama ini wajar diberi keutamaan misalnya Azmah Nordin, Haji Ismaily Bongsu, Emin Madi, Hajah Zaiton Ajamain, Jasni Matlani dan Hassan Saprin berdasarkan pencapaian genre masing-masing selain tokoh-tokoh yang masih ada seperti Datuk Haji Jamdin Buyong, Datuk Hajah Noraini Datuk Salleh, ABM Fajeer, Surya Irawan, Datuk Mohd Yaman Haji Ahmad Mus, Datuk RM Jasni dan Hajah Dayang Salmah Salam.

Kita telah berjaya di peringkat Asia Tenggara apabila Amil Jaya (Datuk Haji Ismail Abas) dan Azmah Nordin dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award. Pencapaian kedua-dua tokoh ini memang tidak perlu diragui, Azmah misalnya telah menggarap kreativitinya melalui karya-karya roman yang cukup hebat. Amil Jaya tokoh pemikir yang telah meninggalkan banyak bahan rujukan untuk tatapan anak bangsanya. Kedudukan ini perlu diperhebatkan. Bukan semata-mata lebih ramai penerima anugerah berprestij Asia Tenggara itu dari Negeri di Bawah Bayu ini. Tidak semestinya begitu selagi para penulis tidak membuktikan kemampuan mereka menulis buku dan teruji berjaya mengangkat intipati sastera dengan cemerlang.

Hampir setiap dua tahun, Hadiah Sastera Sabah (HSS) telah menilai karya-karya penulis Sabah, terutama novel yang wajar dihimpun semula sebagai bahan analisis terpenting. Beberapa orang penulis terbaik seperti Azmah Nordin, Ramlee Awang Murshid, Chacho Haji Bulah, Jusang Bolong, Ismail Salleh telah melakar nama melalui novel-novel yang diperakukan tinggi nilai sasteranya. Novel-novel seperti Bungalina, Pei Pan, Syumul, Iradat, Dukanya Abadi, Ralat (menyebut beberapa buah novel HSS) perlu digali agar sukma sasteranya dapat diperkatakan lebih meluas berdasarkan teori atau pendekatan sastera sedia ada. Para pelajar yang mengambil jurusan sastera boleh memilih karya-karya tersebut sebagai mauduk kajian mereka sebagaimana pernah dilakukan oleh Jasni Matlani yang membicarakan novel Pei Pan (lihat Kumpuan Esei Sastera Sabah Dalam Kritikan terbitan DBP, 2008). Kajian terhadap nilai sastera dan identiti yang mengehakmilikkan penulis-penulis tersebut sebagai sasterawan tersohor menjadi kesinambungan generasi penulis-penulis terdahulu. Cara begini merupakan antara langkah terbaik mengangkat lebih jauh karya-karya berkenaan, apatah lagi usaha membawa penulis dan karya sastera ke mercu mahakarya Sabah di landasan Nasional.

Bagi dekad-dekad mendatang, kita mengharapkan kelahiran karyawan-karyawan yang cemerlang dalam semua genre sastera. Dari sekarang kita perlu meletakkan satu tanda aras bagaimana meletakkan seseorang untuk mencapai kedudukannya melalui karya-karya yang dihasilkan. Dari semasa ke semasa penulis lahir dan berkembang, karya sastera diterbitkan begitu banyak sekali; sudah tentu ada kewajarannya mewujudkan satu panel untuk menilai, memilih dan menentukan tahap-tahap penulis dan tahap-tahap teks yang telah melalui hujahan dan uji kaji, yang memiliki keindahan tulen, kebaikan dan kebenarannya.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan