Sabtu, Mei 14, 2011

Licentia Poetica

SESEBUAH karya mempunyai unsur tertentu seperti kovensi, pembaharuan atau penyimpangan. Ini tidak dapat dielakkan. Namun begitu tahap kovensi, pembaharuan atau penyimpangan tidak sama antara sesebuah karya dengan karya yang lain. Terdapat karya yang mempunyai unsur kovensi secara keseluruhannya mengandungi sedikit pembaharuan, tanpa banyak melakukan penyimpangan. Kreativiti pengarang sebenarnya menentukan sama ada sebuah karya yang dihasilkan mempunyai unsur Licentia Poetica, pembaharuan, kovensi atau peyimpangan.

Definisi konsep Licentia Poetica merupakan kebebasan imaginatif dan linguistik yang diberikan kepada penyair untuk menyimpang atau meninggalkan bentuk-bentuk atau aturan yang biasa digunakan. Penyimpangan ini termasuklah daripada segi sintaksis, tatabahasa, diksi, kebenaran sejarah, anakronisme dan bentuk yang dipercayai dapat memberikan kepuasan imaginatif dan kesan metrikal. Biasanya ia digunakan dengan kesedaran untuk memperkuat karya yang dihasilkan dan tidak digunakan secara sewenang-wenang tanpa mengukur daripada sudut keindahannya (Awang Azman, 2003:36, Baldick:1991, Abrams:1990).

Kebebasan dibenarkan kepada penyair untuk memantaatkan aspek bahasa bagi keperluan dalam pengucapan figuratif yang lebih berkesan, arkaik, rima dan sebagainya. Kebebasan ini bergantung pada makna akhir yang diingini penyair tersebut. Dalam konteks ini kebebasan bahasa dalam puisi lebih bebas daripada bentuk prosa lain, akan tetapi berbeza dari zaman ke zaman dan tidak kesemua kebebasan dapat dikategorikan sebagai licentia poetica (Gray, 1981:162). Hal ini demikian kerana ada kesilapan tatabahasa imaginatif yang terlalu tidak terkawal, memaparkan kesilapan tatabahasa yang lemah dan buruk dan tidak berjaya memberikan kesan yang sempurna kepada khalayak pembaca bukanlah dapat dianggap licentia poetica.

Menurut Jack Elliot Myers (1985:66) dalam The Longman Dictionary of Poetic Terms, kovensi merupakan teknik, stail dan alat yang lazim digunakan oleh penyair atau pengarang termasuk daripada segi baris, kandungan dan estetika zaman. Dalam perkembangan sastera, termasuk genre puisi, sesuatu yang dianggap inovasi pada sesuatu zaman akhirnya akan menjadi kovensi pada zaman yang lain, sebahagiannya kerana percubaan penyair untuk melakukan pembaharuan atau eksperimen dalam berkarya. Berdasarkan penyataan tersebut kovensi ialah stail, teknik atau alat yang telah biasa dilakukan dan diterima secara umumnya, termasuklah daripada segi bentuk atau isi kandungan. Hal ini menjelaskan betapa dinamiknya perubahan, khususnya dalam karya sastera. Menurut J.A.Cuddon dalam Dictionary of Literary Terms and Literary Theory (1991) konsep kovensi mempunyai kesejajaran makna dengan takrifan oleh Jack Elliot Myers. Baginya, konvensi wujud melalui alat, prinips dan bentuk tertentu yang telah diterima umum oleh pembaca dan penulis yang akan melakukan pelbagai jenis kebebasan tetapi tertakluk pada batasan dan sekatan tertentu.

Istilah pembaharuan pula merujuk kepada unsur-unsur yang belum dipakai ataupun belum begitu lama dipakai. Menurut The Longman Dictionary of Poetic (1985:146) istilah dan konsep pembaharuan berasal daripada perkataan Latin yang bermakna ‘penemuan’ dan telah digunakan di Greek dan retorik klasik sebagai penemuan suatu hujahan yang merujuk kepada keaslian dalam bentuk kandungannya. Dari aspek yang lain pula, ‘pembaharuan’ untuk suatu tempoh tertentu akan menjadi kovensi pada waktu yang lain. Hal ini berlaku apabila khayalak dapat menerima sesuatu pembaharuan yang telah dilakukan.

Kini pembaharuan merujuk kepada keupayaan penulis mencipta sesuatu gaya baru dalam memerihalkan melahirkan karya kreatif. Gaya baru yang dibawanya sering menyerlahkan keaslian dan kesegaran daripada segi idea, bentuk ataupun teknik. Sejajar dengan itu, sering kali pembaharuan bertembung dengan kovensi yang telah bertunjang dalam sesuatu zaman dan genre. Dalam bidang kreatif khususnya, pembaharuan mungkin daripada segi pemilihan diksi, stail yang dipersegar dan bentuk. Namun tanpa disedari bagi penulis yang kurang ilmunya sering menganggap apa yang dilakukannya itu suatu pembaruan padahal hanyalah suatu kekalutan yang karut. Bukanlah pembaharuan apabila kebenaran sudah lama benar dan terjadi.

Istilah penyimpangan berasal daripada kata dasar ‘simpang’ (Kamus Dewan (1994:1282-1283) mendefinisikan ‘simpang’ sebagai sesuatu yang melencong atau bercabang daripada lurus. Penyimpangan bermakna perihal menyimpang daripada sesuatu. Istilah menyimpang mengungkapkan maksud ‘menjadikan melencong daripada arah asal’. A Dictionary of Stylisitcs (1995:116-118), yang merujuk istilah ‘penyimpangan’ sebagai ‘deviasi’ memerihalkan definisi dan konsep ini sebagai kelainan daripada biasa ataupun secara keseluruhannya. Kelainan mungkin mencetuskan atau melanggar peraturan biasa dalam struktur ilmu linguistik sama ada aspek fonologi, tatabahasa, leksikal ataupun semantik atau secara stilistiknya kurang biasa dan jarang dilakukan. Hal ini diperkuat dengan penggunaan unsur-unsur jalinan penulisan seperti metafora, personifikasi, arkaik dan anafora.

Nah, mungkin ditemukakan sesuatu daripada tulisan para penyair apakah karya yang disempurnakan itu suatu yang biasa yakni konvesi atau telah terjadi penyimpangan (deviasi) atau sesungguhan suatu yang baharu. Mungkin kebebasan licentia poetica terjadi setiap ketika kita berkarya tetapi harus berawas kerana apa yang bakal dihidangkan itu hanyalah kata-kata yang terpaksa diuji keberkesanannya terlebih dahulu bukan sekadar kata-kata atau teknik yang sengaja menjadikannya sesuatu yang baharu akibat kebebasan yang dibenarkan. Sebaliknya, jangan risau untuk melakukan pembaharuan dalam karya, kerana saya amat suka kepada kata-kata ini: sesebuah karya yang baik akan terasa sentuhannya apabila mampu mencernanya dengan kata-kata atau diksi yang baru dan segar.

Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan