Selasa, April 21, 2009

MENELUSUR KEBERADAAN PENULIS MUDA SABAH DALAM KONTEKS SASTERA MALAYSIA

1.MUKADIMAH

PENULIS-PENULIS muda Sabah bagi genre puisi terus berkembang dari semasa ke semasa sebagaimana berlangsungnya keriuhan penulis-penulis muda di tempat-tempat lain di negara ini. Keriuhan ini banyak digerakkan oleh media massa, majalah dan aktiviti-aktiviti penerbitan yang ada di Sabah. Selain media massa nasional seperti Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, majalah Dewan Sastera dan sebagainya, peranan ini juga dimainkan oleh surat khabar utama tempatan iaitu Daily Express, Borneo Mail, The New Sabah Times dan Utusan Borneo. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang menerbitkan majalah Wadah dan Jendela Sabah setiap tiga bulan membantu merancakkan lagi aktiviti penulisan bahan-bahan sastera dan membina keterampilan penulis-penulis muda yang lahir dari semasa ke semasa. Di samping itu aktiviti penerbitan yang diadakan sempena dengan Mahrajan Sastera Islam yang dianjurkan bersama oleh DBP Cawangan Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) juga telah memberi tempat kepada penulis-penulis muda melalui penerbitan antologi puisi setiap tahun. Hingga kini sebanyak 15 buah antologi puisi yang bertemakan ketuhanan telah diterbitkan. Prasarana serta medan penulisan ini telah menyediakan ruang yang luas bagi tujuan kajian dan penilaian karya-karya yang bermutu menerusi Hadiah Sastera Sabah1 dan Hadiah Tinta Sastera Sabah2.

Denyut kegiatan sastera terus berdegup melalui penganjuran peraduan-peraduan penulisan puisi seperti Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam sempena Mahrajan Sastera Islam dan Peraduan Menulis Puisi Ramadan oleh Ikatan Penulis Sabah (IPS) sempena menyambut Ramadan. Peraduan-peraduan ini turut menjadi medan para penulis muda mencipta karya sastera yang bermutu.

Bimbingan-bimbingan penulisan seperti Minggu Penulis Remaja juga menarik minat ramai penulis baru mengasah bakat yang disusuli program-program lanjutan seperti Projek Penulis Anak Angkat anjuran DBP Cawangan Sabah. Seramai empat orang penulis berjaya menghasilkan buku kumpulan puisi masing-masing menerusi program ini. Mereka ialah Saibil Madun (Laut Sebuah Ayunan), Hasyuda Abadi (Balada Paduka Mat Salleh), Ariffin Arif (Api Laut Merah) dan Jaafar Abdul Wahid (Lakaran Perjalanan).

Carta penulis-penulis muda yang lahir sekitar 80-an bagaimanapun semakin merudum diambil alih oleh penulis-penulis baru era seterusnya. Karya dan wajah mereka biasanya kelihatan dalam penerbitan buku-buku puisi yang disebutkan di atas. Bagaimanapun para penulis seperti Saibil Madun, Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Abd Naddin Shaiddin, Jair Sulai, Juri Durabi, Ab Saik Dalwis, Ariffin Arif, Ailin Nor (sekadar menyebut beberapa nama) masih mampu menelusur mata pena mereka di persada kesusasteraan tanah air. Manakala nama-nama yang pernah menggegarkan pentas perpuisian di Sabah seperti Mohd Zain A.H., A.Karim Kadir, Siba Nita A.S., Alipah Jambuan, Agus M, N.R. Rahim, Julius Mokejal, Masrani Madun, Anisul Jalis, Norjannah Mohd Adnan, Aidah A.R., Mohd Hadie Nor D, A.Rahim Tapah, Jaafar Abdul Wahid (sekadar menampilkan beberapa nama besarnya) telah mengundurkan diri tanpa sebarang alasan.

Pepatah Melayu mengatakan patah tumbuh hilang berganti walaupun terdapat juga penulis-penulis yang berehat itu melakukan ‘kepulangan’ mereka semula. Namun demikian, keadaan ini memberi kesan tersendiri apabila para pengkaji melakukan kajian mengenai tahap kematangan dan perkembangan karya serta penulis-penulis tersebut. Sumbangan seorang penulis yang berakar dan menjati diri wajar dipertimbangkan sebagai wahana kajian sebelum mereka meraih kepuasan atau ketidakpuasan setelah berkarya. Terdapat segelintir penulis menganggap dunia penulisan khususnya puisi hanya merupakan hadiah kenang-kenangan sepanjang hayat semata-mata selepas menerima anugerah sastera. Misalnya, penyair muda Hassan Jaidin tidak pernah melahirkan puisi setelah menerima Hadiah Sastera Perdana 1998 menerusi puisinya ‘Kertas-kertas yang Bertebaran’. Hadiah berprestij ini seolah-olah telah menutup tirai kariernya sebagai penulis dalam usia yang terlalu muda.

Selain media dan penerbitan buku peranan persatuan penulis perlu juga diambil kira dalam usaha pengembangan keterampilan para penulis muda di Sabah. Tiga persatuan penulis yang aktif di Sabah bagi dua dekad kebelakangan ini ialah Badan Bahasa Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah3 (IPS) dan Warna-Warni Sandakan (WARISAN). BAHASA satu-satunya persatuan penulis yang menjadi kerabat GAPENA dan WARISAN satu-satunya persatuan yang bergiat di luar Kota Kinabalu bagaimanapun tidak kerap mengadakan aktiviti sasteranya berbanding IPS. IPS telah menggunakan kesempatan ini mengasah bakat dan minat penulis-penulis baru malah turut memainkan peranan melahirkan, mengembangkan dan memugar keterampilan penulis-penulis muda yang berpotensi. Antara penulis-penulis yang mantap ketika menyertai IPS ialah Jasni Yakub, Sahara Jais, Rosnah Radin, Oneh Latifah Osman, Robby A, Muharsafa Kirana Bacho, Merlenny Deen Erwan, Elwan Truman, Masyati Mohd Yassin, Luciana Benjamin, Rafilzah Mihaldin, Maslian Padih, Mohd Azrone Sarabatin, Rafidah Matasan, Mabulmaddin Shaiddin, Raymond Majumah, Oka De dan Armaja @ Arif Osman.

2. MELIHAT POTENSI BEBERAPA ORANG PENULIS MUDA SABAH

Makalah ini akan menampilkan lima orang penulis muda yang berpotensi. Mereka juga menulis tanpa henti sejak awal penglibatan dan pada yang sama mampu mencirikan kelainan yang tersendiri berbanding dengan para penulis seangkatan. Penulis-penulis muda yang dimaksudkan ialah Jair Sulai, Raymond Majumah, Sahara Jais, Norawi Haji Kata dan Mabulmaddin Shaiddin.

Jair Sulai adalah antara nama teratas dalam carta perpuisian di Sabah. Beliau dilahirkan di Kampung Malubang, Pitas Kudat iaitu sebuah daerah ke utara negeri Sabah. Penulis ini pernah tergolong dalam kelompok penulis yang mewarnai perpuisian di Sabah bersama-sama Mohd Zain A.H., Saibil Madun, Mohd Hadie Nor D, Alipah Jambuan, Ab Saik Dalwis dan lain-lain. Jair mula melibatkan diri dalam penulisan sekitar tahun 1987. Karya-karyanya sering tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah antaranya Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Mastika, al-Islam, Dewan Budaya, Wadah dan media massa tempatan.

Jair adalah satu-satunya penulis muda yang menulis sepenuh masa di Sabah. Tidak hairan puisi-puisinya sering tersiar dalam media-media masa di negara ini. Jair merupakan penyair alam. Keakrabannya dengan alam menjadikannya insan yang sensitif dan inilah wajahnya menerusi puisi-puisi yang dipilih dalam penyediaan makalah ini. Dalam sebuah puisinya, ‘Potret dari Pedalaman’, Jair melukiskan citra masyarakat pedalaman menghadapi kehidupan dengan berhuma hingga jauh ke ceruk rimba. Mereka mengimpikan sebuah kehidupan yang indah walaupun pada hakikatnya irama impian itu tidak lebih daripada sebuah ilusi:

jiwa mereka juga sentiasa menggesek biola rindu
yang bertalikan harapan dan impian
pada sebuah taman permainan yang penuh bunga-bunga
namun kenyaringan iramanya masih lengkingan nestapa

Dalam ‘Setiba Musim Hujan’, Jair mencitrakan bagaimana girangnya para penghuma menerima kedatangan hujan. Begitu juga ketika tiba musim menuai. Menerusi sebuah puisinya berjudul ‘Musim Panen’, kegembiraan para penghuma telah diraih hasil penat lelah.

Pelukisan alam yang istimewa dipersembahkan Jair menerusi sebuah lagi puisinya yang tersiar dalam Dewan Sastera, Jun 1996 bertajuk ‘Sajak Kingkiling kepada Pipit’. Kingkiling bermaksud ‘orang-orang’. Kingkiling dikreatifkannya untuk berbicara dengan burung-burung pipit yang menjadi musuh kepada padi humanya:

ruang buana ini terbentang saujana
untukmu bebas merencana kehidupan terbaik
selain merampas padi humaku
yang telah menjadi kehidupanku yang sejati4

Masalah serta kepayahan menjalankan aktiviti berhuma menjadi mesej utama Jair dalam kebanyakan puisinya sebagaimana dalam puisi ‘Pesan Penghuni Tua’ dan “Tugal”:

dengan luhur kusemai benih padi suci
pada tanah huma kita yang tercinta ini
meski matahari peradaban memijari bumi
kaubajai dengan keringat kasih sejati
agar akan sempat bersemi murni
dan terus tubuh menjunjung langit hakiki
kemudian merundukkan buah maknawi
sebagai cetera abadi dari hidup semusim ini.5



dalam aku membentur-bentur tanah huma
harapanku pun tumbuh sepekat hutan rimba
pada benih padi yang kusemai di tanah huma
akan bersemi sempurna sampai ke musim menuai
musim bahagia impianku6

Sebagai insan seni yang mengabdikan dirinya dalam bidang penulisan puisi, karya-karya Jair boleh dibaca dalam pelbagai media termasuklah buku-buku antologi puisi bersama. Perlu juga diakui bahawa para penulis muda di Sabah memang bertuah kerana tiap-tiap tahun mereka mempunyai antologi bersama. Inilah peranan yang dimainkan oleh DBP Cawangan Sabah yang bertanggung jawab membina dan mengembangkan para penulis terutama penulis muda. Bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), agensi kerajaan ini mempelawa para penulis mengemukakan puisi-puisi mereka untuk diantologikan. Meskipun antologi ini tidak dijual namun bagi tujuan dokumentasi, ia amatlah bernilai sebagai khazanah sastera yang berharga.

Jair Sulai adalah antara penyumbang kepada antologi puisi yang diterbitkan setiap tahun itu. Sebenarnya dilihat dari segi karya berunsur Islam Jair amat berjaya melakukan perenungan yang mendalam terhadap hakikat diri, keagungan Ilahi, keinsafan terhadap misteri ciptaan Allah s.w.t. Kita telusur petikan daripada tiga buah puisi Jair yang bernafaskan Islam:

tanpa sedar
dalam kesementaraan
kita hanya amsal debu
berserak di halaman fana
menganyam kesempurnaan diri
dalam kesendirian
melayang di awangan buana
asyik dan pongah
alpa hakikat citra
di luar diri7


Sesungguh Uhud
kini kita berada di medan peradaban zaman
yakini, di sini perang belum selesai
kita terus bertempur beribu seteru
akan membius nafsu kita dengan kemabukan
seketika kita dalam kealpaan8


Benar. Aku hanya berada dalam ruang kecil. Kerana aku
kembara dalam lingkaran maha saujana. tak sepenuhnya
merdeka menggapai damba. tak beroleh makna hayat tanpa
ikhlas istikrar diri pada yang hak dan abadi.9

Membicarakan karya-karya Jair pada ruangan yang amat berbatas ini memungkinkan kita tidak dapat menyelami keseluruhan andatila jati diri kepenyairannya. Permata kepenyairan Jair Sulai memang sering terbukti apabila beberapa kali meraih Hadiah Sastera Sabah dan hadiah-hadiah penulisan puisi yang lain. Kegigihannya menghasilkan puisi secara berterusan wajar diperhatikan agar peluangnya lebih melebar untuk memiliki antologi puisi persendirian untuk tujuan penilaian yang lebih konkrit. Jair Sulai mempunyai waktu yang panjang lahir sebagai penyiar mapan yang memiliki jati diri tersendiri. Apatah lagi menulis puisi boleh menyara kehidupannya!

Raymond Majumah atau Azlan Shafie Abdullah berasal dari suku kaum Rungus,10 iaitu salah satu subetnik dalam rumpun bangsa Kadazan–Dusun di Sabah. Beliau dilahirkan di rumah panjang di Kampung Guomon, Matunggong, Kudat, dan adalah antara insan yang bertuah kerana pernah dibesarkan di rumah panjang. Aktiviti penulisan Raymond secara serius bermula di Maktab Perguruan Kent Tuaran, Sabah. Di situ beliau berkawan rapat dengan dua orang penulis muda yang sudah mempunyai tempat di dada akhbar tempatan iaitu Jamail Masador dan Julius Mokejal. Beliau telah ditunjuk ajar bagaimana mengemukakan karya ke surat khabar utama di Sabah hinggalah tersiar puisi pertamanya berjudul “ Tangismu, Tangisku” di akhbar Borneo Mail.

Raymond amat rancak menulis puisi bermula pada 1989 hingga 1993. Selepas itu berehat tetapi muncul semula pada 1999. Pada tahun 1994, Raymond menerima Hadiah Sastera Sabah bagi genre puisi. Inilah pencapaian terbaik beliau. Namun demikian, hadiah ini bukan bermakna berakhir pula kariernya sebagai penulis. Raymond sentiasa menajamkan mata pena dan pada saya beliau adalah antara penulis muda yang mempunyai kecenderungan tersendiri dalam genre puisi di samping cerpen dan drama.

Raymond juga satu-satunya penulis muda saudara baru yang mendasari akar Islami sebagai landas pengkaryaan. Sebuah puisi panjangnya yang termuat dalam antologi puisi “Rindu Ilahi“ bertajuk “Sirnakan Mazmumah Kumpulkan Mahmudah” menyatukan segala dorongan bersumberkan nafsu ke satu pusaran kebaikan iaitu sifat Mahmudah:

lupakan cinta hartamu – lupakan cinta duniamu – lupakan cinta butamu
ingati saja mukjizat yang mampu menciptakan isi dan bahasa kandung al-Quran
ingati saja rahmat yang diterima dan si pemberi rahmat yang
tak terkira atau memilih dan ingatlah, bahawa Allah maha pengasih,
penyayang – pemurah dan pemberi rahmat jangan bertatih-tatih lagi
mulakan hari ini – mengadap arah jalan yang melurus.11


Selanjutnya penulis bersyukur ke hadrat Ilahi dengan seikhlas hati ke atas apa jua yang telah dianugerahi-Nya. Suara murni Raymond kedengaran dalam sebuah puisinya berjudul ‘Kekuatan Kasih’:

Aku harus bersyukur
kepada-mu – seikhlasnya
atas harga hidup
nyawa yang Engkau tiupkan
kasih sayang-Mu
perlindungan-Mu
benar-benarku terima
sungguh rela12

Sebagai saudara baru pengakuan kudus Raymond menjadi salah satu kebenaran yang utuh. Pengakuannya tidak pernah diragukan dan disangsikan bahawa hala tuju yang benar hanyalah jalan yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t. Suara batin Raymond jelas dalam ungkapan berikut:

Memang tidak pernah kuragukan
keputusan yang satu
memilih jalan-Mu
bertindak dalam lindungan
hidup penuh pasrah
alangkah nikmatnya
cinta yang sejati13

Sebagai hamba Allah s.w.t. insan tidak dapat mengasingkan pengakuannya dan menyedari betapa tingginya Dia. Insan wajib mendalami ilmu untuk mendekati Tuhan meskipun hakikatnya tabir yang menyembunyikan kehadiran Ilahi itu melalui kias alam yang tidak terjumlah bilangannya. Hakikat ini jugalah yang dilalui Raymond dan sebagai hamba-nya, dia mengakui keinginannya bersatu bersama-Nya buat selama-lamanya:


Menggeledah tabir peribadi-Mu
tersembunyi di balik daun-daun metafora
juntai-juntai kias alam
malah menambah keinginan bersatu
bersamamu selamanya
di dekat-mu mabuk cinta
asyik dan tawaduk
hayat dalam diam
tuhanku, Rabbul alamin.14

Penulis wanita di Sabah juga tidak kurang pentingnya dalam perkembangan puisi tanah air. Apabila menyentuh kepenyairan wanita di Sabah, nama-nama seperti Suhani S, Zaiton Ajamain, Sairah Haji Antin, Rubiah Nordin, Sitti Rahmah G. Ibrahim, Jariah Taha (sekadar menyebut beberapa nama) tentu menjadi sebutan berdasarkan keistimewaan masing-masing. Perlu disebut dalam makalah ini bahawa penulis muda wanita di Sabah sebenarnya ramai antaranya Sahara Jais, Merlenny Deen Erwan, Oney Latifah Osman, R.A.M. Papar, Rafidah Matassan, Diana @ Siti Khatizah Mohd Derin, Maslian Padih, Rosnah Radin (sekadar menyebut beberapa nama penting). Bagaimanapun dalam makalah ini, pembicaraan akan memberi tumpuan kepada penulis yang amat penting iaitu Sahara Jais berdasarkan pencirian akar dalam puisi-puisinya.

Sahara Jais berasal dari Kampung Tebobon, Kota Kinabalu dibesarkan di bawah jagaan datuknya yang amat tebal dengan pantang larang agama. Latar kehidupan agama yang sejati mengakar jalur fikrah yang membina jati diri agama yang kuat juga. Apatah lagi setelah masa berlalu mematangkan peribadi, membina landasan tersendiri bersumberkan ajaran, bacaan, kepercayaan dan keyakinan terhadap hakikat diri.

Peringkat awal aktiviti penulisannya bermula sekitar tahun 1991 apabila sebuah karyanya tersiar dalam antologi puisi “Kiswah Rindu” bertajuk ‘An-Nasuha’. Jati diri Sahara Jais yang cenderung kepada nafas Islami dalam perpuisian di Sabah begitu jelas dan amat konsisten. Jika kekuatan perpuisian yang senafas dengannya diberi kepada Ariffin Arif melalui antologi puisi Api Laut Merah, kekuatan perpuisian daripada golongan wanita tidak keterlaluan diberi kepada Sahara Jais.

Membaca beberapa buah puisi yang tersiar dalam media massa dan antologi puisi, Sahara telah mengaplikasikan konsep nur atau cahaya Ilahi seperti mana diperjelaskan oleh Al-Ghazali.. Al-Ghazali menyatakan bahawa cahaya (Nur) adalah seperti cahaya badani, cahaya mata dan akal kecerdasan.15 Cahaya yang sebenarnya adalah cahaya Allah s.w.t. kerana cahaya yang bukan dari Allah s.w.t. bukanlah hakikat ataupun kebenaran. Al-Ghazali membahagikan golongan manusia kepada tiga dalam memahami cahaya iaitu orang awam, orang khusus dan orang yang lebih khusus.

Golongan khusus dan golong yang lebih khusus beruntung kerana telah mencapai tingkat hakikat kenyataan yang membuka rahsia kedua-dua tingkat itu. Apabila tingkat-tingkat itu dicapai akan jelas diketahui bahawa Allah s.w.t. adalah Cahaya Yang Maha Tinggi dan Maha Jauh, dan apabila tabir rahsia ini terbuka di alam kenyataan, maka yakinlah mereka bahawa Allah Cahaya Yang Nyata dan Cahaya Yang Hak, Dia adalah Esa tidak bersyarikat kerana di samping-Nya tidak ada lagi cahaya-cahaya lain.16

Sahara berpegang kepada surah Al-Nur, ayat 3517 sebagai asas penulisannya. Beliau mengabdikan segala pancainderanya ke arah yang satu iaitu Nur Ilahi. Sahara juga gemar mewarnai karya-karyanya dengan kalimat-kalimat atau metafora Islami di samping kepekatannya menggunakan nama-nama tokoh sejarah nabi-nabi. Puisi berikut membuktikan jati diri Sahara:

Antara taman-taman
kupilih putih sepi uzlah taqarrub ini
dan kutatap wajah indah-Mu dalam kamar makhfi kalbu
begitu detar mawar atmaku mengaromakan kasturi rindu
tatkala mendiami hening Qausar cinta-Mu yang menakjubkan
kurunduk sujud tafakur di taman mahabbah ar Rahim-Mu

demikian gemeresik sutera bahasa firman-Mu
mistik dan rahsia
mencengkam segenap marhaban rasa
Ilahi rabbi, beginikah pesona ar Rahman-Mu
di waktu menusuk dingin ke mujahadah kalbu seorang Zulaikha
lantaran terbuka segala tabir hijab
mendiamkan qiam pengabdian
paling kudu di hadapan-Mu


Ya Khaliq
sebagaimana Zulaikha terpenjara
ke dalam raihan takwa-mu
asyikkan perkebunan imanku dengan takjub zikir


Ya Hayyu
sebagaimana Zulaikha terkurung
ke dalam narwastu hidayah-Mu
asyikkan halwa kasihku dengan takjub tasbih


Ya Qayyum
sebagaimana Zulaikha terpana
ke dalam mawar sakinah cinta-Mu
asyikkan marwas denyut nafasku
dengan merindui maghfirah-Mu
merindui-Mu.18


Puisi “An-Nasuha” puisi pertamanya dimuatkan dalam bentuk buku menjadi puisi yang disenangi panel penilai Hadiah Sastera Sabah 1991/1992. “An-Nasuha” adalah citra tulus dan telus seorang insan yang bersungguh-sungguh menyatakan taubatnya ke hadrat Maha Pencipta:

Ya Ghaffar,

di persada At-Tawwab-Mu
kupusarakan an nasuha ini
semoga Ashshakur-mu
masih sudi menerima kehadirannya

Ya Rahman,Ya Rahim, Ya Saaim
ampuni dosa-dosaku
Tubha Ya Allah
Wara jahna Ya Allah
Wanadimna Ya Allah
La haula Wala Quwwatailla Billah ‘Aliyil’azim.19

Arbak Othman (2002) ketika melakukan ulasan terhadap antologi puisi “Sapaan Bonda” dalam Wadah20 melihat keupayaan Sahara Jais mengungkapkan persepsi sufi yang mujarad sebagai suatu kelebihan yang bijaksana, yang termampukan oleh penyair-penyair tertentu yang lain seperti Kemala, A.Aziz Deraman, Rahimidin Zahari dan Rejab F.I. di Semenanjung Malaysia. Menurut Arbak lagi, lihatlah cara mana kehalusan Ilahi dipetakan di permukaan puisi dengan menggunakan kata-kata secara terpilih dari segi fonologi, sintaksis dan semantiknya:


Kuselami diammu dalam taman makhfi sepi
ini pertemuan mujarad pada kepulangan abadi yang maha jauh
walau wajah bumi melabuhkan hijab
dan menjarakkan kita
kukenang dirimu dalam narwastu doa sepanjang musim
rinduku tak mengerti pudar warna
mawadahku setia mewangi di saujana atma
benar, ini jauh yang mengakrabkan segalanya
kepadamu.21

Makalah ini juga akan memperkenalkan seorang lagi penulis muda negeri Sabah yang berkembang secara sendiri dalam bidang penulisan puisi. Bakat penulis muda ini terserlah apabila puisi-puisinya mendapat tempat di dada akhbar tempatan bahkan berjaya menambat hati editor Dewan Sastera. Penulis yang dimaksudkan ialah Norawi Haji Kata. Norawi lahir di Kampung Labuan, Kota Belud, bekerja sebagai seorang pendidik di kampung halamannya. Pada Peringkat awal Norawi menulis mengenai tema-tema perjuangan kemanusiaan dan keadilan sejagat sesuai dengan jiwa anak mudanya. Perlahan-lahan suara puisinya beralih nada kepada suara Islami yang bersifat renungan, muhasabah dan meletakkan suara kebenaran melebihi segala-gala. Misalnya dalam sebuah puisinya berjudul ‘Surah’, Norawi telah menikmati suatu rasa ‘manisan damai’ ketika malam (hujung kuntum waktu) menghayati ayat-ayat suci al-Quran (haruman ayat-ayat suci) yang membawa ketenangan dalam jiwanya:

Kukucup manisan damai
di hujung kuntum waktu
haruman ayat-ayat suci
mengiringi ketenangan

tak siapa yang boleh menghukum syahdu
ketika gerak fikir
sedang khusyuk melewati
kesegaran ungkapan firman-Mu22

Norawi mendalami lagi bentuk puisi-puisi melalui metafora-metafora yang sentiasa segar walaupun terdapat juga yang klise. Namun demikian, kegemarannya ini telah mendekatkan beliau lebih jauh lagi dalam penghasilan puisi yang diterima umum. Contoh seterusnya menerusi puisi ‘Serpihan Waktu’, Norawi menulis:


Di atas meja hayat
terdampar fail-fail waktu
tak sempat difikirkan
sisa-sisa amal yang terbiar
sedangkan kita selalu ghairah
menghadapi panorama indah. 23

Karya-karya Norawi juga dimuatkan dalam antologi-antologi puisi terbitan tempatan. Kesempatan ini dimanfaatkan Norawi menghasilkan puisi yang lebih baik dan ternyata sebuah puisinya yang terdapat di dalam antologi ‘Cahaya’ (2000) diperakui layak memenangi Hadiah Sastera Sabah 2000/2001. Sebuah lagi puisi Norawi yang tersiar di Dewan Sastera berjudul ‘Nyanyian Kehidupan’ (November 2001) juga terpilih bagi hadiah yang sama. Sebelum itu puisinya “Pisau Batin’ (Dewan Sastera, November 1998) juga dipilih panel penilai sebagai pemenang salah satu daripada 10 buah puisi Hadiah Sastera 1998/1999.

Mabulmaddin Shaiddin merupakan penulis muda yang memiliki bentuk tersendiri dalam puisi-puisinya. Mabulmaddin juga berasal dari Kota Belud, mula menulis pada tahun 1990 menerusi puisi pertamanya yang tersiar dalam Borneo Mail (18 Mac 1990) bertajuk ‘Usia’. Sebagai pengenalan awal diperturunkan sepenuhnya puisi terawal Mabulmaddin sebagaimana di bawah:

Dicakar-cakar oleh malam
samar cahaya menjengah di sudut
hadir di dalam diri
loncatan
rindu yang menggelepar
dan kesumba.24


Sebagai puisi pertama dalam kariernya, Mabulmaddin mampu memperlihatkan gaya dan bentuk yang tersendiri. Penulis muda ini telah mencapai tahap yang terbaik berdasarkan keberaniannya mencipta diksi yang sedar dan kerana itu juga meletakkannya sebagai penulis muda yang penting selepas Saibil Madun, Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Juri Durabi dan Ariffin Arif.

Mabulmaddin amat menggemari karya-karya Sapardi Djoko Damono dan Subagio Sastrowardoyo malah inilah bacaannya sejak awal lagi.25 Mabulmaddin yang pernah bekerja di Subang Jaya, Selangor melakarkan kembaranya menerusi puisi-puisinya yang banyak disiarkan dalam media massa kebangsaan dan tempatan. Antaranya seperti berikut:


Menunggu Kapal Kertas

seharian menunggu kapal kertas dari laut luas
di dermaga tengah kota
senja mulai tiba
tapi lembayung masih panas
cuacakah yang akan bicara
atau waktu yang berubah
seperti lazimnya
angin putih yang tangkas
menapis angkara
tapi kini
hari mulai senyap
akhirnya lembayung menua.26


Beban

kerisauan yang berkampung
di tapak tangan
kesesatan pengembara bertahun:
sesal dahulu pendapatan.
kerisauan yang melimpah

putih di rambut
gusarlah si pengembara
kerana sarat kebenciannya

betul bukan:
berjagung-jagung dahulu
sebelum menuai perhumaan

penggalasan ini
melewati kebun-kebun tua dan sejarah
sebabnya mudah sahaja
tiada pendamai jiwa
yang memadamkan api lumrah
pesan paman
bersulit-sulit dahulu
bersenang-senang kemudian.27



Keadilan

Dia semakin sepi
rerintik yang membeku lidah
pudar suram
memanik yang lincah menggelincir
tanah tak bisa menerimanya
kerana keadilan tak ada

setelah pulang
dengan pena di tangan melukis bulan
berupa buah epal
rumpun-rumpun lalang
yang berkerisik di sentuh
tubuh berdakap
di antara ufuk ke ufuk
berdiri kita
menggenggam jabat pertama
nan berbunga.28



Meneliti beberapa karya penulis-penulis muda yang diperkatakan dalam makalah ini, dapat diperhatikan ciri-ciri yang saling meneguhkan bahkan baru, segar, kemas dan tersendiri. Pencirian ini juga menggambarkan jalur-jalur peribadi yang mewakili jati diri dalam sejarah perpuisian tempatan dan tanah air.


3. MENEMUKAN JATI DIRI DALAM PENULISAN PUISI

Penyair selalunya memandang sesuatu itu tidak mendasar seperti adanya. Sesuatu yang akan berlaku tentulah disebabkan sesuatu yang lain sama ada kita menyedarinya atau tidak. Saya percaya sesuatu itu ada puncanya yang mengakar apa juga peristiwa. Tanpa mengambil kira apakah peristiwa itu besar atau kecil. Peristiwa akan mendasar kepada pembinaan kemanusiaan dari pelbagai hala seperti pemikiran, cara hidup, harapan atau cita-cita, kebenaran dan pengalaman. Sesuatu peristiwa sentiasa menjanjikan kerana kehidupan sentiasa menyedarkan kita kepada hakikat tidak akan terbina sesuatu tanpa sebarang permulaan. Setiap permulaan akan menjadikan sesuatu itu lebih besar, lebih terarah kepada pembinaan keagungan. Jatuh dan bangun sebuah bangsa misalnya akan meninggalkan pengajaran meneruskan kelangsungan kehidupan. Sebuah bangsa juga tidak akan dihormati tanpa melalui peristiwa demi peristiwa yang berharga. Kematangan bangsa juga selalu didasari kemampuan kita melalui fasa-fasa pembinaan pemikiran yang besar.

Antara sedar dengan tidak, kita sebenarnya menjalani pola sejarah yang sama sebagaimana yang dilalui oleh seluruh umat manusia sejak zaman awal lagi. Sejarah yang kita lalui tidak jauh berbeza dengan sejarah masyarakat yang wujud sebelum kita. Walaupun kita telah menyaksikan perbezaan yang amat ketara dari segi peradaban dan perkembangan sejarah manusia, namun itu hanya berbentuk kebendaan semata-mata. Manusia tidak pernah berbeza sejak awal lagi dari segi penggunaan akal, buah fikiran, perasaan, nafsu, keperluan berkomunikasi, dan sebagainya. Ciri-ciri ini merupakan antara unsur yang tidak mungkin akan berubah selagi manusia masih kekal dengan unsur kemanusiaannya yang semula jadi.

Manusia mempunyai persamaan sejak zaman purba sehingga hari ini, terutama sekali dari aspek pencorakan sejarah hidup manusia. Pola yang dimaksudkan ialah pergelutan manusia dengan dirinya sendiri dalam mencari hakikat kehidupan. Manusia sentiasa dihantui oleh persoalan seperti dari mana dia datang, bagaimana dia wujud, apa matlamat hidupnya di dunia ini, ke mana dia akan pergi, dan lain-lain lagi. Demikianlah apa yang ingin kita rasai sebagai pengamat kehidupan. Melihat cermin peribadi tak mungkin dapat menggambarkan apa-apa dengan mengabaikan perihal yang lain menerusi ketajaman sentuhan panca indera. Dalam keberadaan kita, kita merasakan ada produk yang amat berharga untuk menterjemahkan keunikan kemanusiaan ini. Di mana pun kita berada, kita akan mengamati situasi, perbezaan dan persamaan bahkan hal-hal baru yang memerlukan penelaahan. Kita menterjemah dengan memindahkan setiap rasa kepada suatu kaedah yang berbeza tetapi sentiasa melahirkan pengalaman baru kepada orang lain. Persoalan kehidupan sedikit sebanyak akan mencerminkan peribadi, sikap, pemikiran dan visi tentang sesuatu yang diperkatakan. Sebagai penyair pula, kita tidak dapat membebaskan diri daripada perkara yang berlaku di sekitarnya kerana dunia penyair adalah manusia di sekitarnya. Interaksi dengan diri sendiri, alam, masyarakat dan manusia di sekeliling akan mencorakkan sikap penyair dan tanggapannya terhadap persekitaran dan persoalan yang diangkatnya dalam sesebuah produk karya. Tidak terdapat batasan baginya mengungkapkan persoalan. Persoalan adalah sesuatu yang pelbagai tanpa batasan, terpulanglah kepada kekreatifan, imaginasi, bakat dan ketajaman pemerhatian serta kepekaannya untuk mengolah persoalan sama ada besar ataupun kecil.

Pengalaman begini diyakini dialami oleh para penulis muda di mana juga termasuk mereka yang mewarnai kesusasteraan Negeri di Bawah Bayu yang kaya dengan kepelbagaian latar budaya, kepercayaan serta andatila kehidupan.

4. PENUTUP

Meskipun peta perpuisian di Sabah tidak pernah ketinggalan namun dalam konteks penulis Malaysia penulis-penulis muda di Sabah amat jarang diperkatakan waima mendalami pemikiran yang mereka semai di dalam karya masing-masing. Keadaan ini disebabkan oleh alasan-alasan klasik iaitu kekurangan bahan-bahan terkini yang boleh dijadikan asas pembicaraan. Bahan-bahan sastera gagal diperoleh juga disebabkan tidak ada jalur komunikasi yang jelas antara para pengkaji yang kebanyakannya berada di Kuala Lumpur walaupun di Sabah ada DBP Cawangan Sabah dan persatuan penulis yang mempunyai jaringannya tersendiri.

Oleh yang demikian saya suka mencadangkan agar jalur komunikasi yang lebih telus dan jelas perlu diambil perhatian bersungguh-sungguh supaya tidak timbul alasan-alasan yang diistilahkan sebagai lapuk dan klasik. DBP Cawangan Sabah dan persatuan-persatuan penulis yang ada di Sabah harus lebih proaktif memperbaharui tekad di dalam perancangan untuk mengemas kini data-data maklumat para penulis tempatan tanpa mengira ciri penulisan mereka. Hubungan pelbagai hala antara para pengkaji dengan badan-badan penulis dan para penulis juga perlu berlaku di mana akhirnya tidak lagi kedengaran perbalahan antara satu sama lain berkaitan dengan masalah bahan-bahan sastera tempatan. Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat yang berlaku sekarang wajar dimanfaatkan, misalnya dengan membina gerbang sasterawan secara lebih meluas dan terkini.

Saya amat optimis sekali dengan kelahiran penulis-penulis pelapis dari semasa ke semasa. Bagaimanapun kelahiran mereka harus ditangani dengan seutuh kesedaran bahawa usia bukan penyebab mereka ligat atau liat dalam berkarya. Memberi bimbingan bukan sekadar menyatakan garis panduan yang dangkal bahkan menjelaskan kepada penulis-penulis baru mengenai peranan yang mereka mainkan secara berterusan. Mesej inilah yang harus disampaikan kepada penulis-penulis mendatang.



Kampung Tanjung Aru Tengah,
Kota Kinabalu, Sabah.

8 Jun 2003


RUJUKAN

Azlan Khalili Shamsudin, 1991. Al-Ghazali dan Konsep Al-Nur. Kuala Lumpur: DBP

Hjh. Jamilah Hj. Ahmad dll (peny.) , 1993. Kiswah Rindu. Kota Kinabalu: DBP Cawangan Sabah/Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Japar Ungki (peny.), 1995, Qiam. Kota Kinabalu: DBP Cawangan Sabah/Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Japar Ungki (peny.), 1996. Kafilah. Kota Kinabalu: DBP Cawangan Sabah/Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Zaiton Ajamain dll (peny.), 1997. Mujaddid. Kota Kinabalu: DBP Cawangan Sabah/Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Mohd. Arifin Mohd. Arif dll (peny.), 2000. Cahaya. Kota Kinabalu: DBP Cawangan Sabah/Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Wadah, Jld.18, Bil. 2, Ogos 2002. Kota Kinabalu: DBP Cawangan Sabah.

Wadah, Jld.19, Bil. 3, Disember 2002. Kota Kinabalu: DBP Cawangan Sabah.


Nota Kaki:

1 Penilaian ini diadakan tahun sejak tahun 1990 ke atas karya-karya yang bermutu, diberikan kepada para penulis yang berasal dari Negeri Sabah berdasarkan karya-karya sastera yang tersiar di mana-mana media di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

2 Hadiah ini diberikan kepada para penulis mapan dan penulis baru berdasarkan keprolifikan mereka berkarya. Karya-karya sastera dalam bentuk puisi, cerpen dan esei sastera akan dinilai. Program ini dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah dan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS).

3 Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada tahun 1990 dan didaftarkan melalui Pendaftar Pertubuhan pada 24 Mac 1992. Latar belakang IPS boleh dilihat dalam laman webnya: http://webips.tripod.com/

4 Dewan Sastera, Jun 1996 hlm. 81

5 Dewan Sastera, Jun 1996 hlm. 82

6 ibid

7 Menyusur Perjalanan Maknawi, Qiam, hlm. 26

8 Sesudah Uhud, Mujaddid, hlm. 33

9 Dalam Lingkaran, Kafilah, hlm. 15

10 Proses Kreatif 1, Wadah, Ogos 2002, hlm.19

11 Sirnakan Mazmumah Kumpulkan Mahmudah, Rindu Ilahi,hlm. 22-24

12 Kekuatan Kasih, Cahaya, hlm. 13

13 Pengakuan, ibid, hlm. 14

14 Ketinggian-Mu, Sapaan Bonda, m.s.8

15 Azlan Khalili Shamsudin, al-Ghazali dan Konsep Al-Nur, hlm.36

16 Al-Ghazali, Misykal al-Anwar, hlm. 1.

17 Surah al-Nur 24:35 yang bermaksud: Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci al-Quran) adalah sebagai sebuah “miskat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun, yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – degan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana)walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur yang berganda-ganda); cahaya berlapis cahaya; Allah memimpin sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-peraturan-Nya) kepada nur bidayah-Nya; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia, dan Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu.”

18 Tatkala Seorang Zulaikha Istikrarkan Mawar Qausar Cinta di Hadapan-Mu, Sapaan Bonda, hlm. 64.

19 An-Nasuha, Kiswah Rindu, hlm.81.

20 Sapaan Bonda: Pengisian Mistik yang Tidak Digeruni, Wadah, Disember 2002, hlm. 43.

21 Setulus Kasih Semurni Ingatan, Sapaan Bonda, hlm.66.

22 Surah, Qiam, hlm. 58.

23 Serpihan Waktu, ibid, hlm. 59.

24 Usia, Borneo Mail, 18 Mac 1990.

25 Sumber: Abd Naddin Shaiddin.

26 Menunggu Kapal Kertas, Borneo Mail, 28 Ogos 1997.

27 Momento Perjalanan, Borneo Mail, 3 Mac 1996.

28 Keadilan, Berita Minggu, 15 Mac 1998.







MENCARI MEGAKARYA: GAGASAN GENERASI BARU

M u k a d i m a h

DAYA MELAHIRKAN MEGAKARYA DI SABAH SEHARUSNYA dipengaruhi oleh beberapa unsur asas bagaimana ia berkembang dan menjadi besar apabila penilaian dibuat secara tuntas. Ini sekali gus melatari kelahiran sasterawan sama ada yang dibina menerusi program penataran atau yang terbina secara semula jadinya. Dalam ungkayah ke arah menyediakan prasarana persiapan ini para sasterawan biasanya akan melalui elemen-elemen yang terjalin akrab yang mewarnai kelangsungan mereka menggulati sastera. Elemen-elemen berkenaan ialah fenomena berkaitan perubahan, penghayatan budaya ilmu, keazaman dan usaha yang gigih di kalangan sasterawan berkenaan serta kelangsungan program pemartabatan karya sastera dan sasterawan itu sendiri. Maka, sudah sampai waktunya pula kita tumpukan pemerhatian kepada isu-isu sastera di persada global dan sedaya mungkin menginsafkan kita betapa perlunya usaha yang berterusan agar gagasan-gagasan kemegahan kita seperti Wawasan 2020 atau Sabah Baru yang sedang berlangsung sekarang menjadi daya pacu perubahan cara dan tindak para sasterawan menterjemah isu-isu terbabit sejajar dengan persaingan global masa kini; kepekaan para penganalisis sastera melakukan penilaian terhadap setiap inti pati dan nilai maknawi karya sastera dan di tengah-tengah mereka ini melebarkan kilauan permata nilai maknawi sastera berkenaan kepada masyarakat keseluruhannya.

F e n o m e n a P e r u b a h a n

Fitrah manusia sejak dilahirkan ke alam fana ini sentiasa berhadapan dengan fenomena perubahan, sama ada yang berada di luar kawalannya ataupun akibat keinginannya sendiri. Keinginan merubah inilah yang membuahkan kegiatan bercita-cita. Misalnya keinginan menjadi seorang yang berjaya dan dengan itu menikmati kehidupan yang bahagia. Lebih besar daripada itu, mungkin kita bercita-cita menjadi agen perubahan, seperti membawa bangsa kita menjadi suatu bangsa yang dihormati serta diteladani di pentas global. Kesungguhan menepati cita-cita ini telah merangsang manusia yang kerdil untuk mewarnai sejarah hidupnya. Kini, kita dapat melihat akan kepelbagaian sumbangan bangsa-bangsa silam dan masa kini. Dalam lembaran sejarah, kita dapat menikmati akan sumbangan-sumbangan tamadun-tamadun besar yang pernah menguasai dunia.

Bagi menghadapi perubahan, mustahaklah diperlengkap bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi, tidak kurang pentingnya, mengisi kekuatan rohani. Masyarakat kita di negara ini, sekarang dan akan datang hendaklah mempunyai nilai hidup yang penuh dengan cabaran serta mengatasi masalah-masalah yang pelbagai rupa. Barangkali kita boleh menjangka corak kehidupan baru sekeliling kita itu dapat melahirkan bentuk kebudayaan yang lebih segar dan dinamis. Pusaka tradisi yang indah dan bernilai dipelihara serta disesuaikan dengan iklim dan persekitaran baru. Inilah perkembangan yang benar-benar kita ingini dan menjadi matlamat segala langkah dan usaha kita hari ini.

Budaya merubah untuk menjadi seseorang atau suatu bangsa yang berguna kita kenali sebagai pembangunan insan. Di negara kita sendiri pun kita mempunyai cita-cita besar. Wawasan 2020 misalnya, menuntut kita bersama-sama membangunkan sebuah negara yang maju bagi mengisi abad 21. Begitu juga Gagasan Sabah Baru yang menjadi dasar pengukuhan politik, ekonomi dan penjanaan pembangunan di negeri Sabah sedang ligat dilaksanakan.

Sudah tentu dalam membahaskan dan mengisi cita-cita besar ini para sasterawan mempunyai saham yang besar. Para sasterawan telah diberi gelaran seperti ‘pembentuk peribadi rakyat’, ’pembentuk pemikiran dan akhlak masyarakat’ dan ‘pemimpin zamannya’[1]. Tanggapan serta harapan pemimpin negara dan negeri serta rakyat menggunung. Sudah pasti para sasterawan tidak akan menjauhkan dirinya daripada tanggungjawab besar ini. Kalau begitu, mari kita merenung sejenak persoalan-persoalan seperti apakah kita sudah bersedia menjadi sasterawan harapan bangsa, harapan agama dan harapan negara? Apakah yang akan menjadi bekalan bersama kita sebagai persiapan ke arah itu? Apakah kita sedar mana karya yang dilihat sebagai karya semata-mata dan mana karya yang boleh digali ilmunya, berguna untuk pembaca yang menghayatinya?

Kita harus memperkuatkan karya atau genre kesusasteraan dan ilmu kesusasteraan untuk mengatasi persepsi masyarakat terhadap kesusasteraan yang difahami sebagai karya semata-mata tetapi tidak sekali gus sebagai ilmu[2].

P e n g h a y a t a n B u d a y a I l m u

Dari pandangan Islam, Syed Othman Alhabshi (2003) menjelaskan bahawa ilmu ialah sesuatu yang pasti yang terbit daripada kebenaran yang mutlak yang harus kekal di sisi manusia dan diterima oleh hatinya (al-qalb). Konsep ilmu ini datang daripada perkataan yaqin yang sememangnya mempunyai maksud benar dan pada masa yang sama membina keamanan, keselamatan dan ketenangan dalam hati. Oleh itu, ilmu tidak boleh berada dalam bentuk tekaan yang bijak atau sangkaan yang mungkin mengandungi unsur syak yang akan bertukar atau berubah demi masa atau tempat. Apabila syak wujud, walau sedikit sekali pun, ia bukan lagi suatu kebenaran yang mutlak, ia juga tidak lagi akan menenangkan hati dan dengan itu bukan lagi dianggap ilmu.

Takrif budaya ilmu bermaksud budaya yang berlandas dan dipimpin oleh ilmu. Ia juga merupakan iltizam serta amalan masyarakat yang meletakkan ilmu sebagai nilai asas dan tertinggi sekali dalam sistem nilainya. Budaya ilmu juga difahami sebagai kewujudan suatu keadaan di mana setiap individu akan melibatkan dirinya baik secara langsung atau tidak dengan aktiviti-aktiviti keilmuan pada setiap kesempatan melalui perbincangan, diskusi, percambahan idea dan tindakan bersandarkan ilmu[3]. Seseorang atau sesuatu bangsa yang mengamalkan budaya ilmu akan sentiasa meletakkan ilmu sebagai kunci ke arah kebaikan, kemakmuran, kemajuan dan kejayaan diri atau bangsanya.

Jadi, apabila kita bercakap tentang orang yang berilmu, atau pun tentang budaya ilmu, maksudnya ialah, orang atau masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang global, yang menyeluruh, tentang hakikat alam ini sebagai ciptaan Allah yang tauhid[4]. Ahli sains tidak lengkap ilmunya jikalau dia hanya pakar dalam bidangnya yang kecil, yang dikatakan khusus, sekiranya persepsinya tidak meluas, tidak celik budaya, tidak mengetahui atau memahami perkara-perkara lain seperti sejarah, budaya, sastera, ekonomi, keadaan sosial dan politik negaranya, atau tentang bidang-bidang ilmu yang lain, walaupun secara umum, sebab semua perkara dan bidang yang lain itu kait-mengait dan bantu-membantu, untuk teorinya dan perasaannya dengan manusia dan masyarakat sekitarnya secara lebih realistik, di samping menjadikan dia lebih sedar akan keterbatasan ilmunya yang khusus untuk memahami hakikat hidup dan alam sejagat ini secara global.

C i r i – c i r i B u d a y a I l m u

Ciri-ciri individu atau masyarakat yang menghayati budaya ilmu ialah:

* Kecintaan yang tinggi sepanjang hidup terhadap ilmu
* Menghayati idealisme perjuangan kebenaran
* Memberi keutamaan kepada usaha-usaha penerokaan, pembangunan
* dan penyebaran ilmu
* Menghormati serta mengiktiraf para ilmuwan dan institusi-institusi
* Keilmuan, dan
* Menolak pandangan dan amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran.


Ciri-ciri ini akan terserlah dalam kehidupan sesiapa juga yang menghayati budaya ilmu, kerana pembudayaan ilmu telah ditanam dan disuburkan dengan baik sejak kita atau bangsa kita dilahirkan. Ciri-ciri budaya ilmu juga akan mapan selagi kita mempunyai niat dan keazaman yang tinggi untuk sentiasa mendampingi ilmu. Budaya ilmu ini tidak akan subur, apatah lagi bertahan lama, dalam diri atau bangsa yang hanya berpura-pura atau bermusim-musim komitmennya.

P r a s a r a n a P e m b a n g u n a n B u d a y a I l m u

Budaya ilmu juga tidak akan terbentuk dengan sendirinya. Pembentukannya memerlukan usaha dan perancangan yang rapi. Bagi menjayakan pembentukan serta memapankan pembangunan budaya ilmu, kita sekurang-kurangnya perlukan persediaan beberapa prasarana ataupun subbudaya, iaitu:

* Budaya membaca
* Budaya berfikir
* Budaya menyelidik
* Budaya berbincang dan musyawarah
* Budaya berkarya

Gabung jalinan kesemua subbudaya ini amat dituntut sama ada dalam diri individu atau bangsa, sebagai contoh, adunan kesemua subbudaya ini dalam diri seseorang sasterawan akan memperkuatkan landasan asasnya agar berkecimpung dalam dunia penulisan secara serius dan amanah. Atas pandangan ini, maka persediaan bagi menjayakan kesuburan dan kemantapan kesemua subbudaya ini adalah diperlukan sekiranya kita benar-benar mengharapkan barisan sasterawan yang berwibawa. Persediaan ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi mutu penulisan, malah akan membantu kita menepati tuntutan zaman agar kita sama-sama menangani cabaran semasa dan akan datang demi kepentingan bangsa, agama, negara dan manusia sejagat.

Tidak dapat disangkal juga bahawa ilmu menjadi prasyarat dalam persaingan di tengah arus perdana kemajuan sejagat. Cabaran teknologi maklumat sesungguhnya mengangkat isyarat kepada kita untuk menguasai ilmu dan kemahiran dalam memastikan kita tidak tertinggal dan ditinggalkan oleh orang lain. Sasterawan tidak terlepas daripada daya untuk membina diri dengan nilai-nilai keilmuan, dengan karya yang juga tidak sekadar lontaran emosi, tetapi memiliki pemikiran, sentuhan keinsafan serta pesan dan pedoman kepada ummah untuk membentuk peradaban. Para sasterawan juga tidak hadir sekadar untuk berkelana dengan ilham tetapi mengisi fikrah dan karya dengan ilmu dan menggilap kecintaan ummah dengan nilai-nilai hubbul ilm wal ulamak yang menjadi paksi dalam membina kecemerlangan. Upaya ini menurut Arifin Arif (1998), menghimbau kita untuk meneruskan hijrah dalam pelbagai dimensi, termasuk peningkatan terhadap penghayatan terhadap nilai ilmu.

Sewajarnya kita ingat bahawa penulisan bukan seperti bidang pembangunan fizikal yang boleh disiapkan dengan cara pasang siap atau dengan cara peminjaman. Ini disebabkan penulisan terletak di hadapan sedangkan pemasangan atau peminjaman berada di belakang. Selagi sasterawan tidak dapat menduduki tempat utama di hadapan, selagi itulah penulisan itu masih di peringkat rendah. Kita harus menumpukan kepada pembinaan kewibawaan, kerana hanya tulisan atau karya yang berwibawa sahaja yang menjamin dunia penulisan bermartabat. Kewibawaan ini pula hanya dapat diperoleh melalui kombinasi pelbagai unsur, iaitu ilmu, pengalaman, ketekunan, kekuatan dan ketajaman berfikir. Kehilangan satu unsur dalam kombinasi ini akan mengurangkan kewibawaan sesuatu tulisan. Tanpa satu unsur itu, seseorang penulis tidak mampu mencerna dapatan orang lain dan dapatannya sendiri yang akhirnya menjadikan tulisannya itu dangkal.

Hal ini mempunyai hubungan dengan minda iaitu konsep abstrak yang merujuk kepada keupayaan pemikiran dan pemerhatian yang mencerminkan daya intelektual seseorang, atau sesuatu kelompok atau bangsa berkenaan[5]. Perkembangan minda bergantung pada interaksi seseorang dengan persekitarannya, khususnya dengan alam sekeliling, dengan keadaan budaya termasuk alam spirituil dan ideologi, sistem pendidikan (formal dan tidak formal), di samping keadaan politik, sosial dan ekonomi masyarakat pada sesuatu zaman. Minda terbentuk dalam sejarah, bukannya sesuatu yang semula jadi atau diberi. Dengan kata lain, minda ialah sesuatu yang dinamik, yang tertakluk pada hukum perubahan seiring dengan perjalanan sejarah dan perkembangan masyarakat.

G a g a s a n A s a s

Bagaimanakah meletakkan sastera yang dihasilkan oleh sasterawan di Sabah berada bersama-sama megakarya-megakarya yang lain dalam peta sastera Malaysia? Kita memang mampu melakukannya kerana para sasterawan kita juga mempunyai kesungguhan dan keusahawanan terhadapnya. Sasterawan dapat memainkan fungsinya dalam masyarakat mampu melahirkan lebih ramai golongan cendekiawan dan berupaya mendominasi hala tuju dan menjana situasi bertindak sebagai nukleus untuk mencipta citra masyarakat[6].

Sebagai gagasan asas kita harus melahirkan lebih ramai sasterawan yang mencetuskan fikrah minda mereka untuk tatapan masyarakat, menjadi sekumpulan manusia yang menjadi rujukan kerana mereka adalah pencetus idea-idea baru. Selayaknya mereka menjadi jurutera sosial andainya mereka dapat berperanan sebagai katalis atau pemangkin. Sasterawan adalah agen perubahan sama ada cara berfikir, tingkah laku dan sikap masyarakat. Justeru sebagai agen perubahan, mereka juga harus mempunyai keterampilan yang hebat dan mengagumkan. Di sinilah pentingnya para sasterawan di Sabah membentuk imej dan keterampilan agar menjadi cerminan dan ikutan yang menghala kepada kesempurnaan.

Mungkin kelembapan industri buku di negeri Sabah memberi sedikit banyak kesan ke arah pendewasaan para sasterawan yang mapan mahupun yang baru berkecimpung dalam dunia sastera. Namun begitu, fenomena ini tidak harus dijadikan sebab terbantutnya usaha pembesaran dan penyejagatan sasterawan dan karya sasterawan berkenaan. Malah sudah ada keberanian yang dilakukan oleh sasterawan ini menerbitkan dan mencetak sendiri buku masing-masing. Di tempat-tempat lain perkara ini bukan baru namun begitu kita harus menghargai pengorbanan yang ditunjukkan oleh para sasterawan generasi baru[7] ini.

Kreativiti sebagai suatu kriteria yang wajar ada pada seseorang sasterawan sudah tentu juga menjangkau sehingga soal-soal pemasaran karya. Seharusnya difikirkan cara terbaik agar memasarkan produk karya mereka kepada masyarakat dilakukan secara meluas dan terbuka. Kita harus membuka sasaran lebih lebar bukan semata-mata di kalangan sesama sasterawan, sarjana atau pelajar tetapi juga daripada golongan lain seperti para saudagar atau yang terlibat dengan dunia korporat, ahli-ahli politik, pemimpin tertinggi negeri atau negara, masyarakat desa dan sebagainya. Para sasterawan juga wajar tidak terlalu merendahkan diri mereka apabila berada di antara kelompok yang berkedudukan tinggi. Selain daripada itu, sebaiknya diwujudkan sebuah konsortium pemasaran karya sastera kita. Perlunya juga usaha promosi yang sistematik, paparan iklan yang lebih meluas, dan pengupayaan memperkenalkan karya dan sasterawan di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi kemampuan ICT masa ini.

Sewajarnya juga lebih ramai sasterawan[8] kita menerima Hadiah Sastera Perdana seterusnya layak diketengahkan bagi penilaian Hadiah Sastera Mastera[9] apabila kesungguhan dan usaha rancak industri penerbitan buku dilaksanakan dengan jayanya. Ke arah sasaran ini, misi para sasterawan sudah tentu akan melipat gandakan lagi kecemerlangan mereka menghasilkan megakarya-megakarya yang hebat. Mereka akan menjadikan bahan-bahan sejarah, akar budaya, rimba kehidupan masyarakat tempatan sebagai nukleus atau pati kesusasteraan yang akan menjadi jati diri bangsa kita.

Kadang-kadang kita berfikir kecil, hidup dan bernafas di dalam kepompong sosiobudaya yang sempit. Yang ada hanyalah karya kita, keghairahan kita dan sedikit nama. Memadai kita dikenali sebagai penulis atau sasterawan sebuah atau dua buah karya sastera dan dikagumi oleh segelintir teman-teman. Lalu kita menulis untuk diri kita dan sebilangan kecil masyarakat yang menikmatinya.

Sastera Malaysia adalah sastera yang kecil, bukan kerana keupayaannya atau kerana potensi yang ada padanya tetapi kerana kita sengaja menjadikannya kecil. Yang berlaku kita sengaja membesar-besarkan yang kurang penting terutama sekali kepada hal-hal yang boleh tidak boleh, jadi tidak jadi, rajuk yang merugikan, marah yang memudaratkan dunianya sebagai sasterawan sejati dan sebagainya. Kita tidak berfikir secara besar dan berusaha secara serius untuk memperluaskan andatila sastera kita ke pengetahuan dunia. Apa yang kita lihat usaha secara persendirian. Menerbitkan buku juga secara bersendirian. Memasarkannya juga demikian. Jika demikian, bagaimana dunia boleh mendapatkan karya kesusasteraan kita?

Ambil sahaja terjemahan[10]. Bukan kita tidak berusaha menterjemah karya kesusasteraan ke dalam bahasa dunia yang lain, tetapi sejauh manakah usaha terjemahan itu tersebar? Apakah hanya tertimbun di rak-rak perpustakaan dan di kedai-kedai buku dalam negeri? Terjemahan itu harus tersebar luas bukan sahaja di perpustakaan-perpustakaan besar dunia, universiti-universiti baik malah kedai-kedai buku ternama. Sewaktu kita mengakses carian di internet, apakah senarai pendek karya kita juga terdapat di situ? Sekiranya kita mahu dikenal di mata dunia, kita harus berusaha secara agresif untuk memperkenalkan diri kita. Sebaik mana pun karya-karya sasterawan terbilang kita, sekiranya tidak diketahui oleh dunia, tidak memberikan apa-apa pengertian dan tidak akan menaikkan imej sastera kita pada kaca mata antarabangsa. Meskipun ada waktunya kita akur seperti pernah ditulis oleh Abdul Hadi W.M. (1989), antara Timur dan Barat milik Tuhan...

“ke mana pun kau berpaling yang terlihat adalah wajah-Nya. Maka kebenaran bertaburan di mana-mana, kita yang jumpa di sini cuma sebahagian kecil sahaja daripada masyarakat kepenyairan (sastera) yang jauh lebih besar. Perbezaan ras, kebangsaan, agama dan aliran sastera dan lain-lain tidak selayaknya merintangi kita untuk saling menghargai dan saling menyemak karya kita masing-masing.”

G a g a s a n K h u s u s

Saya ingin merumuskan bahawa proses memperkasakan sasterawan dan karya sastera di Sabah akan melalui ‘jalan yang tertutup’ sekiranya tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh. Sekurang-kurangnya tiga dot hitam yang perlu diberikan perhatian dan diketengahkan sebagai gagasan khusus ini, iaitu:

· Belum ada sasterawan Sabah yang dinobatkan dengan anugerah besar bersifat eksklusif[11] sama ada peringkat nasional, mahupun antarabangsa[12].

· Untuk mendapatkan pengiktirafan yang begini, seseorang harus ada megakarya yang diterbitkan dengan mutu penerbitan yang sempurna. Selain kualiti, keadaan ini harus juga diberatkan aspek mutu teknikal, cetakan, modus pasaran dan sebagainya.

· Kebanggaan dan martabat seorang sasterawan selalunya diukur berasaskan penghasilan buku, dan jumudnya peningkatan martabat golongan sasterawan di Sabah pula boleh dikaitkan dengan kelembapan industri penghasilan buku.

Mungkin benar bahawa prasyarat untuk mendapatkan pengiktirafan eksklusif, seseorang harus mampu menonjolkan satu megakarya dan konsisten dengan proses pembukuan karya-karya dari semasa ke semasa. Soalnya adakah memadainya dengan hanya dua kriteria ini?

Sesungguhnya tidak ada definisi fizikal yang mutlak mengenai megakarya. Sifat megakarya itu adalah abstrak, subjektif dan relatif. Megakarya tidak muncul dan tidak lahir hanya kerana adanya seorang sasterawan berbakat besar tiba-tiba menghasilkan sebuah megakarya. Megakarya tidak mungkin tercipta di hujung pena seorang sasterawan semata-mata. Megakarya adalah konsep yang dicipta oleh ‘sekumpulan individu tertentu’ yang berperanan mengguna, menilai dan mengapresiasi sesebuah karya. Jadi, soalnya di sini bukannya ‘adakah para sasterawan Sabah mempunyai megakarya atau tidak?’ Persoalan yang lebih relevan ialah ’siapakah yang mahu memegakaryakan dan memegahkan karya para sasterawan Sabah?’ Pengkritik sastera? Namun begitu berapa ramai penulis kritikan di Sabah yang konsisten? Apakah peranan yang diberikan oleh para sarjana di pusat pengajian tinggi di Sabah, misalnya Universiti Malaysia Sabah (UMS)?

Hakikatnya semua orang berlumba-lumba menghasilkan karya kreatif tetapi memandang usaha-usaha kritikan ini hanya sebagai tugas golongan akademik semata-mata. Ini ditambah lagi apabila pengkritik sastera kita biasanya daripada kalangan sasterawan itu sendiri[13]. Kita sering membaca kritikan-kritikan sastera di dada akbar dan majalah tempatan, namun batasannya hanya di situ dan tidak pula mahu melebarkan sayap kritikan mereka ke dunia sastera nasional. Program pembicaraan karya sastera kita juga tidak disebarluaskan misalnya menerusi media-media masa nasional.

Karya kreatif sebagai sebuah karya jarang sekali boleh menjadi megakarya jika tidak disusuli dengan elemen-elemen perbahasan dalam bentuk prosa tentang nilai-nilai dalaman karya tersebut. Kadangkala, sebuah karya yang sangat baik dan bermutu, mati terkubur kerana ia hanya dibaca sebagai karya kreatif semata-mata tetapi tidak dibicarakan tentang bentuk persembahan dan olahan pemikirannya. Misalnya novel Salina (A. Samad Said). Sewaktu ia mula dihasilkan dulu, impaknya kepada pengguna sastera di Malaysia begitu kecil. Bukan setakat tidak mampu menjadi megakarya, malah gagal memenangi hati penilai sayembara penulisan yang disertainya ketika itu. Hanya pada pasca 1970-an, apabila tema dan falsafah yang tersirat dalam novel ini mula dibahaskan oleh para pengkritik barulah Salina diangkat menjadi sebuah megakarya. Kesimpulannya, jika tidak kerana usaha kritikan barangkali sampai sekarang novel Salina hanya dianggap sebagai sebuah novel yang biasa, dan bukan sebuah novel yang dianggap sebagai satu percubaan berani untuk merubah gaya pengkaryaan novel Melayu pasca-perang[14].

Salman Rushdie, sebagai contoh lain, seorang penulis berketurunan India yang boleh dikatakan sebagai distinctively average[15] dari segi bakat penulisan. Karyanya dianggap biasa saja. Tapi mengapa karyanya "Satanic Verses"[16] (Surah Syaitan) boleh mendapat pencalonan The Man Booker Prize[17] bagi kategori fiksyen (1988) dan menang pula anugerah Whitbread Novel Award[18] pada tahun yang sama? Mengapa “Satanic Verses” boleh menjadi salah sebuah karya kreatif yang besar di dunia? Mudah saja, kerana sesudah kontroversi elemen Islam dalam karya tersebut tercetus maka ratusan pengkritik sastera di seluruh dunia telah mengulas, menilai dan membahaskan karya tersebut - dari segala segi dan dimensi. Natijah daripada perbahasan dan kritikan inilah yang telah mengangkat “Satanic Verses” sebagai sebuah megakarya. Jika novel ini dibaca hanya sebagai sebuah novel, nescaya novel ini tidak akan dianggap megakarya sampai bila-bila sekali pun.

Akhirnya kita harus kembali memandang wajah kita, sama ada generasi yang lalu atau generasi masa kini, dalam menangani isu yang berbangkit. Tidak ada sebarang faedah ditudingkan jari lantaran ingin menyalahkan pihak lain. Isu ini tidak pernah selesai, timbul dan tenggelam sebagaimana timbul dan tenggelamnya sasterawan kita. Namun begitu gagasan khusus terhadap isu ini masih relevan untuk diketengahkan agar jalan yang terbentang luas masa ini dan masa depan memberikan peluang kepada para sasterawan kita memantapkan lagi kreativiti mereka dan pada masa yang sama peluang harus juga diberi untuk mengetengahkan karya mereka di peringkat yang lebih tinggi.

P e n u t u p

Saya berhasrat untuk menegaskan bahawa apa juga gagasan yang di senarai pendek menuntut kesungguhan kita memacu hala tuju yang sesuai bukan secara sambil lewa atau hangat yang bermusim. Kita tidak mahu terus berada di dalam kepompong persekitaran yang statik yang membelenggu corak pemikiran kita dan dalam proses menggemilangkannya masih disanggah segala macam kelemahan yang bertali arus sejak berzaman. Sedangkan wawasan kecemerlangan harus berjalan seiring bersama kedinamikan para sasterawan dan juga keberkesanan pembangunan fizikal dan spirituil yang diamalkan.

Kita cukup menyedari bahawa dunia ini sedang dihambat dengan pelbagai cemeti perubahan yang bersifat megakarya dan megahnya globalisasi yang meranapkan ciri-ciri yang unik dan istimewa. Dalam keadaan ini kita perlu melihat peranan kita sebagai sasterawan yang akan membantu ke arah menyerlahkan budaya ilmu yang berpaksikan keaslian negara bangsa kita. Dengan benteng yang kukuh ini, insya-Allah kita akan menampilkan keberkesanan realiti negara maju beracuan kita sendiri, mampu menampilkan megakarya-megakarya sastera yang megah oleh para sasterawan yang berfikiran besar dan berpandangan jauh ke hadapan. Para sasterawannya pula berpeluang mengangkat persoalan tempatan ke persada global menerusi aktiviti penulisan yang konsisten, sistematik, kritis dan membina malah cemerlang, gemilang dan terbilang. Inilah cabaran para sasterawan generasi hari ini.


R u j u k a n

A.Aziz Deraman (2000), “Bahasa dan Kesusasteraan dalam Pembinaan Negara Bangsa”.Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hadi W.M. (1989). Masjid, Kepenyairan Timur dan Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Embong (2003). “Faktor Ideologi Politik dan Budaya dalam Penutupan Minda Melayu Islam”. Isu dan Proses Pembukaan Minda Orang Melayu Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arifin Arif (1998). Sastera Islam Menelusur Qarnul Jadid. Kota Kinabalu: Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dll.

Dr. Datu Bandira Datu Alang al-Haj (1999). Sasterawan: Nukleus Sosialisasi Masyarakat Alaf Baru. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Dr. Mohammed Haleem Haji Razi (1995). Budaya Ilmu: Ke Arah Pemantapannya di Kalangan Penulis di Sabah. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Hassan Ahmad (2002). “Budaya Ilmu”. Imbasan (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Johan Jaaffar (1989). Sastera Malaysia untuk Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Othman Alhabshi (2003). “Masyarakat Ilmu, Ekonomi Ilmu dan Masyarakat Islam”. Isu dan Proses Pembukaan Minda Orang Melayu Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


P U S T A K A I Q B A L N A Z I M
Kota Kinabalu
S A B A H
© Hasyuda Abadi 2004


Nota Kaki:
[1] Dr. Mohammed Haleem Haji Razi, 1995.

[2] A.Aziz Deraman, 2000.

[3] Wan Mohd Nor Wan Daud, 1991.

[4] Hassan Ahmad, 2002.

[5] Abdul Rahman Embong, 2003.

[6] Dr. Datu Bandira Datu Alang al-Haj, 1999.

[7] Sasterawan generasi baru yang dimaksudkan ialah Jasni Matlani menerusi buku-bukunya – Kumpulan Cerpen ‘Dunia Iris’ dan ‘Refleksi: Koleksi Bukan Fiksyen’. Seorang lagi ialah Raymond Majumah menerusi Kumpulan Cerpen ‘Selamat Tinggal Sabah’ dan Kumpulan Puisi ‘Terbang Tinggi Nan Jauh’. Penulis yang lain ialah Dayang Salmah Salam dengan Kumpulan Cerpen ‘Sewangi Bunga’ dan Hasyuda Abadi menerusi Kumpulan Cerpen ‘Sepasang Sayap Jelita’. Keempat-empat penulis ini telah memberanikan diri mencetak dan menerbitkan sendiri hasil karya mereka dan seterusnya mereka juga berusaha memasarkan buku-buku tersebut.

[8] Antara sasterawan Sabah yang pernah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (sebelumnya Hadiah Sastera Malaysia) ialah Jamdin Buyong, Hashim Jeffry, S.Mala, Hasyuda Abadi, Matlin Dullah, Soibil Madun, Azmah Nordin, Janathan Kandok, Jasni Matlani dan Hassan Jaidin.

[9] Hadiah diberikan kepada karya sastera kreatif dan bukan kreatif yang diterbitkan dalam bentuk buku, dalam tempoh dua tahun sebelum tahun penilaian oleh negara-negara anggota MASTERA, atau karya-karya sastera oleh para penulis negara-negara anggota MASTERA yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu/Indonesia.



[10] Johan Jaaffar, 1989.

[11] Eksklusif di sini bermaksud sesuatu yang dianugerahkan berasaskan merit penilaian terbuka dan bukan bersifat pertandingan atau sayembara.

[12] Kedudukan Amil Jaya (Datuk Haji Ismail Abbas) sebagai penerima SEA Write Award pada tahun 1992 bagaimanapun tidak diambil kira sebagai telah memenuhi maksud eksklusif yang dimaksudkan dalam makalah ini.

[13] Kecuali Asmiaty Amat menumpukan sepenuhnya di bidang kritikan, pengkritik sastera yang lain juga terlibat dalam pelbagai genre, misalnya Jasni Matlani, selain menulis kritikan beliau menulis cerpen dan puisi. Daniel Jebon Janaun (Cerpen dan Novel), Janathan Kandok (Cerpen) dan Rahim Tapah (Puisi).

[14] Lihat Ramzah Dambul (Rem) dalam Sastera Sabah: Karya Besar dan Anugerah Besar di Kelab Maya Sastera Sabah (KEMSAS), mesej ke-3807, 9 Julai 2004. Rem memberikan responsnya terhadap tulisan Hasyuda Abadi dalam milis yang sama bertajuk: Kesan Dialog Dato’ A.Aziz Deraman dengan Penulis Sabah.

[15] Menyerlah yang bersifat sederhana (terjemahan penulis).

[16] 1988.

[17] The Man Booker Prize memilih fiksyen kontemporari terbaik, dan dianugerahkan setiap tahun bagi novel yang diterbitkan dalam tempoh dua belas bulan yang lalu. Mulai tahun 1969 hingga kini hadiah ini menjadi tanda mercu cita-cita bagi setiap penulis fiksyen dan merupakan salah satu anugerah berprestij dunia. Beberapa tahun lepas, the Man Booker Prize telah menyenarai pendek para pengarang dari seluruh pelosok negara-negara Commonwealth – dari Afrika ke Australasia, Amerika ke India – di bidang penulisan menonjolkan kepelbagaian dan kekayaan latar belakang kebudayaan masing-masing. The Man Booker International Prize menyediakan hadiah tahunan ini dengan mengiktiraf pencapaian seseorang penulis dalam bidang kesusasteraan dan pengaruh yang bernilai kepada para penulis dan pembaca seluruh dunia.

[18] The Whitbread meliputi lima kategori – Novel Sulung, Novel, Biografi, Puisi dan Buku Kanak-kanak. Setiap kategori terdapat tiga orang hakim – lazimnya terdiri daripada pengarang, peniaga buku dan wartawan. Mereka memilih berdasarkan senarai pendek setiap empat buah buku termasuk pemenang. Mereka memilih buku terbaik, menarik yang dicadangkan sebagai bacaan pilihan sesiapa saja. Sembilan orang panel hakim termasuk pengarang daripada panel hakim setiap kategori asal bersama-sama dengan Pengerusi dan tiga orang awam lain yang meminati bacaan, memilih salah satu daripada lima buku sebagai keseluruhan Whitbread Book of the Year.

.