Jumaat, Januari 02, 2009

Makalah Sastera | SAMUDERA KESUSASTERAAN MELAYU








SAMUDERA KESUSASTERAAN MELAYU:


ANTARA CABARAN DAN HARAPAN


SASTERA NEGERI DI BAWAH BAYU ¯<!--[if !supportFootnotes]-->[1]<!--[endif]-->



Oleh HASYUDA ABADI,


Ikatan Penulis Sabah, Kota Kinabalu.



<!--[if !supportLists]-->1. <!--[endif]-->PENDAHULUAN



Negeri di Bawah Bayu melahirkan persepsi yang cukup indah kepada para pelancong. Ada nilai puitis yang menyimpan seribu satu pengertian yang tersirat. Buminya amat mempesona dengan kekayaan alam semula jadi; dari puncak gunung hinggalah ke dataran lembah dan dasar lautnya. Unsur-unsur budaya daripada berbagai-bagai etnik masyarakatnya mekar mewangi mempusakai tradisi turun temurun. Hasil buminya menjadi sumber rezeki dan kehidupan yang selesa bukan sahaja kepada rakyat Sabah bahkan pekerja yang datang dari negara-negara jiran. Berlakulah pelbagai cabaran ketika berhadapan dengan masalah-masalah sosial, tragedi politik yang luar biasa, percaturan nilai perkauman dan sebagainya. Maka sastera memandangnya dengan kaca mata disiplin dan kepaduan fikiran yang pelbagai. Sayangnya rahsia sastera jarang sekali dibicarakan atau dipertanyakan secara terbuka sepertimana tuntasnya perdebatan hangat politik dan ekonomi yang mewarnai gelombang pemerintahan kerajaan. Kegelisahan tercerna hanya menerusi makna yang bersembunyi di sebalik diksi dan bait-bait puisi; ungkapan-ungkapan yang berlapis dalam karya-karya prosa anggota masyarakatnya yang bergelar penulis. Wujudnya nilai sastera kerana adanya insan penulis serta individu dan kelompok yang prihatin tentang kewujudan sastera. Mereka memeliharanya dengan baik walaupun memahami sastera tidak menjanjikan apa-apa seperti memiliki harta dunia yang bersifat sementara. Nilai murni melahirkan sahsiah budi dan moral mengharumi sastera itu lebih penting dan berusaha mempertahankannya.


Maka program-program pembinaan dan pemugaran karya sastera dipertingkatkan. Bengkel-bengkel pengkaryaan dilakukan. Penilaian dan penghargaan dilaksanakan. Mempelbagaikan aktiviti pengapresiasian tidak pernah bernoktah. Pengurus-pengurus sastera jatuh dan bangun berjuang merentas cabaran kecil dan besar. Pengamal sastera yang datang dan pergi, kelembapan kemudahan prasarana terkini, kedudukan dana yang terhad dan juga penerimaan berkala serta seadanya masyarakat terhadap sastera itu sendiri terus diperhatikan. Kadang-kadang terasa wujudnya jarak ‘alam sastera Malaysia’ seolah-olah meminggirkan generasi sastera di Sabah akibat limitasi geografi. Kewajarannya mungkin berasaskan kekerapan para peneliti sastera kurang memberikan perhatian terhadap karya-karya para penulis Borneo Utara ini. Bukan itu sahaja malah ada penulis-penulisnya yang tidak tersenarai dalam susur galur penulis-penulis Malaysia. Apakah semua ini berpunca daripada masalah besar mendapatkan sumber perolehan hasil penulis Sabah? Apakah wajar kehadiran seseorang penulis itu tidak penting walaupun telah menulis ratusan puisi dan cerpen di pelbagai media massa hanya kerana tidak ada dokumentasi percetakan? Apakah gerakan sastera di Sabah tidak serancak tempat-tempat lain walaupun jika dibahagikan antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, aktviti sastera di Sabah juga tidak kurang hebatnya? Jika demikianlah yang dipertanyakan, ini bermakna denyut sastera di Sabah tidak hanya membentuk riak yang kecil.


Sastera di Sabah tetap dirasakan denyut kehadirannya sepertimana dunia sastera di Negara Brunei Darussalam, Sarawak dan Kalimantan. Sastera sesuatu bangsa itu (baca: Sabah) tidak akan ternoktah dalam situasi apa pun, sama ada pengamal sastera silih bertukar dan digelorai pelbagai cabaran fizikal. Para penulis yang saling datang dan pergi ini serta agensi-agensi yang mengurus program-program sastera terus melaksanakan peranan masing-masing. Tidak ada dalam sejarah sastera mana-mana bangsa di dunia sastera bangsa itu menemui kematian begitu sahaja melainkan ia terus diwarisi, berkembang dengan baik, dengan aktivis yang baru membawa perubahan malah menampilkan kepelbagaian yang tidak terduga. (Jasni Matlani: 2005). Kehadiran penulis baru ini bukan sahaja memeriahkan dunia sastera malah akan memperteguhkan lagi sekali gus memantapkan khazanah sastera bangsa itu sendiri.



2. MERENTAS GELORA SAMUDERA SASTERA



Menurut Sasterawan Negara Keris Mas (1987), hampir setiap kelompok masyarakat terumbang-ambing dalam gelora materialisme yang menonjolkan kemewahan dan kekuasaan sebagai aspirasi perjuangan hidup. Kesusasteraan seolah-olah kehilangan akar tunjang dalam gelora besar ini. Kalau ia tercabut maka kemungkinannya amat buruk, sastera akan menjadi alat hawa nafsu, kuasa dan kemewahan. Pada era seperti ini sastera sepatutnya mesti lebih gagah dan lebih kuat untuk menentukan komitmennya terhadap pengangkatan darjat manusia yang mulia dan murni.


Untuk mencapai hasrat dan harapan yang diinginkan tidak ada jalan selesa ke arah itu, sama ada masyarakat yang menikmati produk sastera itu mahupun individu atau kelompok yang menjanai gerakan sastera berkenaan,. Dalam makalah ini kita akan meninjau cabaran-cabaran dan juga harapan-harapan yang saling menyokong antara satu sama lain. Kita tidak harus melupakan bahawa setiap cabaran itu ada puncanya dan cara meladeninya. Demikian juga harapan yang disandarkan terhadap persoalan yang memerlukan pemerhatian serta gerak usaha yang berterusan. Sejauh mana cabaran dan harapan yang ditimbulkan ini bagaimanapun masih tertakluk sejauh mana kepekaan pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan mengungkayahkan peranan masing-masing.



2.1 Cabaran Globalisasi


Cabaran terbaru beradaban rantau berbahasa Melayu amat berkait dengan era globalisasi. Senario ini tidak ditemui sebelumnya kerana bahasa Melayu itu telah mengambil tempat yang sangat penting sesudah kemerdekaan Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam sehingga bahasa kita itu bangun berkembang sebagai salah satu bahasa moden, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa kesatuan dan penyatuan rakyat. (A.Aziz Deraman: 2004). Isu globalisasi menjadi isu yang diperkatakan oleh para pemimpin politik, ahli ekonomi dan dagang tetapi jarang sekali dalam bidang sains sosial yakni kemasyarakatan dan kemanusiaan. Globalisasi menjadi suatu istilah baru sesudah 1990-an apabila teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu sinonim dengan pasaran bebas, walhal keuntungan ekonomi itu tidak semestinya membawa kesan positif kepada peradaban: keruntuhan moral dan akhlak, lahirnya tren sosial masyarakat industri yang maju, kesan negatif terhadap nilai sosio-budaya, jati diri dan perpecahan masyarakat. Ciptaan tempatan bila-bila masa boleh dirosakkan oleh unsur-unsur “American Global Village” dengan pengaruh keterlaluan akibat kecelaruan kita menerima bahasa Inggeris yang membawa unsur-unsur baik dan buruknya itu. Nilai-nilai tradisi kita cukup mudah berubah beralih kepada budaya Barat tanpa saringan lagi, sehingga asimilasi keterlaluan itu mampu pula menjahamkan bahasa dan kesusasteraan kita. Kita perlu menguasai lebih daripada satu bahasa asing, terutama bahasa Inggeris tetapi tentu sekali dalam ukuran keperluan dan kepentingannya.


Walaupun telah diketahui bahawa sastera Melayu mencapai kemajuan yang pesat (dalam konteks kebangsaan) hasil usaha pelbagai pihak, namun demikian banyak lagi cabaran yang perlu ditempuhi dalam mengharungi masa depan. Cabaran-cabaran terhadap sastera dalam tahun-tahun mendatang tentunya tidak sama dengan apa yang akan dihadapi pada masa lampau. Kemajuan politik, ekonomi, sains dan teknologi mempunyai kesan sampingan yang tidak semestinya positif terhadap perkembangan sastera negara dan budaya bangsa. Usaha untuk mencapai kemajuan material pada hakikatnya menghakiskan beberapa nilai murni bangsa yang pada mulanya diangkat daripada hasil warisan bangsa. Namun begitu, adalah tidak wajar kita menjadi terlalu nostalgik tentang keadaan ini dan mengharapkan kembalinya masa silam di mana peradaban kita menjadi landasan kukuh dalam membina kemajuan bangsa. Sastera tidak semestinya menyongsong arus untuk kembali mekar dan segar dalam suatu suasana yang sudah berubah. Apakah tindak balas kita semua dalam menangani persoalan-persoalan globalisasi, tentulah akan terungkap bahawa kita harus kembali ke akarnya tanpa bermaksud melangkah semula ke belakang.



2.2 Pengurusan dan pemasaran produk sastera


Bagaimanakah karya sastera penulis di Sabah mampu berada bersama-sama karya-karya besar yang lain dalam peta sastera Malaysia dan Nusantara? (Hasyuda Abadi: 2005). Kita memang mampu menangani cabaran ini kerana para penulis mempunyai kesungguhan dan nilai keusahawanan yang tersendiri. Penulis dapat memainkan fungsinya sebagai cendekiawan yang berupaya mendominasi hala tuju dan bertindak sebagai nukleus untuk mencipta citra masyarakat. (Datu Bandira Datu Alang: 1999).


Kita harus melahirkan lebih ramai sasterawan yang berupaya mencetuskan fikrah minda mereka untuk tatapan masyarakat, menjadi sekumpulan manusia rujukan kerana mereka adalah pencetus idea-idea baru. Penulis ialah agen perubahan cara berfikir, tingkah laku dan sikap dalam masyarakat. Justeru sebagai agen perubahan, mereka juga harus mempunyai keterampilan yang hebat dan mengagumkan. Di sinilah cabaran perlu diperhatikan supaya para sasterawan dapat membentuk imej dan keterampilan menerusi penghasilan karya-karya sastera yang besar agar menjadi cerminan dan ikutan yang menghala kepada kesempurnaan.


Mungkin kelembapan industri buku di negeri Sabah memberi sedikit banyak kesan ke arah pendewasaan para penulis yang mapan mahupun yang baru berkecimpung dalam dunia sastera. Namun begitu, fenomena ini tidak harus dijadikan sebab terbantutnya usaha pembesaran dan penyejagatan sasterawan dan karya sasterawan berkenaan. Malah sudah ada keberanian yang dilakukan oleh sasterawan seperti Dayang Salmah Salam (Kumpulan Cerpen ‘Sewangi Bunga’), Raymond Majumah (Kumpulan Cerpen ‘Selamat Tinggal Sabah’, Kumpulan Puisi ‘Terbang Tinggi Nun Jauh’ dan ‘Percik Ilusi’) dan Jasni Matlani (Kumpulan Cerpen ‘Dunia Iris’) menerbitkan dan mencetak sendiri buku masing-masing. Ini membukti juga bahawa penerbitan buku-buku sastera juga boleh dilakukan tanpa mempedulikan soal keuntungan kerana apa yang penting ialah khazanah sastera itu sendiri.


Kreativiti sebagai suatu kriteria yang wajar ada pada seseorang sasterawan sudah tentu juga menjangkau sehingga kepada isu pemasaran karya. Seharusnya difikirkan cara terbaik agar memasarkan produk karya mereka kepada masyarakat dilakukan secara meluas dan terbuka. Kita harus memiliki sasaran lebih lebar bukan semata-mata di kalangan sesama sasterawan, sarjana atau pelajar tetapi juga daripada golongan lain seperti para saudagar atau yang terlibat dengan dunia korporat, ahli-ahli politik, pemimpin tertinggi negeri atau negara, masyarakat desa dan sebagainya. Para sasterawan juga wajar tidak terlalu merendahkan diri mereka apabila berada di dalam apa juga kelompok masyarakat. Selain daripada itu, sebaiknya diwujudkan sebuah konsortium pemasaran karya sastera. Perlunya juga usaha promosi yang sistematik misalnya melalui paparan iklan yang lebih meluas, dan pengupayaan memperkenalkan karya dan sasterawan di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi kemampuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) masa kini.


Sewajarnya juga lebih ramai sasterawan kita yang berwibawa dalam karyanya meraih Hadiah Sastera Nasional seterusnya layak diketengahkan bagi penilaian Hadiah Sastera Mastera apabila kesungguhan dan usaha rancak industri penerbitan buku dilaksanakan dengan jayanya. Ke arah sasaran ini, cabaran para sasterawan sudah tentu akan melipat gandakan lagi kecemerlangan mereka menghasilkan karya-karya besar yang hebat. Mereka akan menjadikan bahan-bahan sejarah, akar budaya, rimba kehidupan masyarakat tempatan sebagai nukleus atau pati kesusasteraan yang akan menjadi jati diri bangsanya.


Kadang-kadang kita berfikir kecil, hidup dan bernafas di dalam kepompong sosio-budaya yang sempit. (Johan Jaafar: 1989). Yang ada hanyalah karya kita, keghairahan kita dan sedikit nama. Memadai kita dikenali sebagai penulis atau sasterawan sebuah atau dua buah karya sastera dan dikagumi oleh segelintir teman-teman. Lalu kita menulis untuk diri kita dan sebilangan kecil masyarakat yang menikmatinya. Sastera Melayu adalah sastera yang kecil, bukan kerana keupayaannya atau kerana potensi yang ada padanya tetapi kerana kita sengaja menjadikannya kecil. Yang berlaku kita sengaja membesar-besarkan yang kurang penting terutama sekali kepada hal-hal yang boleh tidak boleh, jadi tidak jadi, rajuk yang merugikan, marah yang memudaratkan dunianya sebagai sasterawan sejati dan sebagainya. Apatah lagi apabila persepsi masyarakat terhadap kesusasteraan yang terbatas dengan melihat kesusasteraan sebagai karya semata-mata, tidak sebagai ilmu. (A.Aziz Deraman: 2000). Sepatutnya kesusasteraan sebagai karya dan sebagai ilmu harus dilihat sebagai gabungan konsep kesusasteraan secara menyeluruh. Kita tidak berfikir secara besar dan berusaha secara serius untuk memperluaskan andatila sastera kita ke pengetahuan dunia. Apa yang kita lihat usaha secara persendirian. Menerbitkan buku juga secara bersendirian. Memasarkannya juga demikian. Jika demikian, bagaimana dunia boleh mendapatkan karya kesusasteraan kita?


Ambil sahaja terjemahan. Bukan kita tidak berusaha menterjemah karya kesusasteraan ke dalam bahasa dunia yang lain, tetapi sejauh manakah usaha terjemahan itu tersebar? Apakah hanya tertimbun di rak-rak perpustakaan dan di kedai-kedai buku dalam negeri? Terjemahan itu harus tersebar luas bukan sahaja di perpustakaan-perpustakaan besar dunia, universiti-universiti baik malah kedai-kedai buku ternama. Sewaktu kita mengakses carian di internet, apakah senarai panjang karya kita juga terdapat di situ? Sekiranya kita mahu dikenal di mata dunia, kita harus berusaha secara agresif untuk memperkenalkan diri kita. Sebaik mana pun karya-karya sasterawan terbilang kita, sekiranya tidak diketahui oleh dunia, tidak memberikan apa-apa pengertian dan tidak akan menaikkan imej sastera kita pada kaca mata antarabangsa. Cabaran ini harus dilihat secara positif berdasarkan kemampuan yang dimiliki para sasterawan berkenaan.


Di samping itu karya-karya memoir juga wajar dikembangkan. Genre penulisan ini memang kurang mendapat perhatian kerana ia memerlukan kemahiran menulis yang berbeza dengan genre sastera lain. Melalui buku yang berbentuk memoir, masyarakat dapat mengenal dan menghayati perjuangan seseorang tokoh. Kisah peribadinya, kesusahannya, pengalamannya, perjuangannya dan keperibadiannya yang dibaca melalui memoir juga kita akan lebih menghargai seseorang tokoh. Apabila penghargaan terzahir, penulisan memoir merupakan satu bahan dokumentasi yang boleh dijadikan rujukan kepada para pengkaji dan pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil jurusan sastera. Setakat ini dua orang penulis Sabah telah menghasilkan buku memoir iaitu Datuk Rasan Majanun Jasni (R.M.Jasni) menerusi “Memoir Anak Sisa Peperangan” dan Jackson Sawatan (Sepasang Kasut dan Selipar Jepun). Buku-buku ini telah diterbitkan hasil daripada Peraduan Hadiah Biografi pada tahun 2001/2002 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP). Namun ia merupakan suatu permulaan dan Sabah mempunyai ramai penulis berpotensi yang perlu diasah dari semasa ke semasa.


2.3 Komuniti sastera


Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Tan Sri Prof. Emeritus Dato’ (Dr) Pendeta Haji Ismail Hussein amat tebal dalam dunia alam Melayu dari sudut global tetapi beliau tidak lupa kepada yang lebih dekat dengan dirinya iaitu komuniti sastera di peringkat akar atau komuniti sastera desa. Komuniti ini seharusnya diberikan perhatian. Namun apa yang terjadi komuniti itu bergerak secara mandiri. Misalnya aktif menulis tanpa kelompok dan bergerak dalam keadaan yang tidak diurus dengan baik. Komuniti sastera di peringkat akar ini harus diorganisasikan dan mendapat kerjasama daripada individu-individu dalam komuniti berkenaan. Mereka harus bernas, punya andatila program yang luas. Saya fikir usaha ke arah itu harus berterusan seperti mengadakan klinik atau workshop penulisan sebagai aktiviti terasnya. Barulah barangkali dapat melahirkan individu penulis yang berwibawa daripada kalangan komuniti tersebut.


Kita juga melihat usaha yang kerap dilakukan oleh sama ada pihak DBP Cawangan Sabah mahupun persatuan-persatuan penulis memberikan impak yang positif, memberikan cernaan usaha yang bersambungan. Aktiviti sastera dan budaya bahkan apa juga yang berkaitan dengan kesenian diadakan di desa-desa kecil. Ini boleh direalisasikan melalui aktiviti seperti kenduri sastera, sebagai contoh, bakal menonjolkan pelbagai budaya yang ada di desa-desa berkenaan. Sebelum ini memang sering juga dilakukan misalnya program penulis masuk desa, tetapi tidak diteruskan sebagai aktiviti yang konsisten. Kita boleh menganjurkan program yang lebih khusus misalnya Program Keluarga Angkat Penulis. Kita memilih desa atas kapasitinya sebagai lokasi yang berkedudukan setempat dan berkelompok, kaya dengan budaya dan kesenian tradisional. Interaksi budaya akan berlangsung dan ini memberi dorongan kepadanya menulis banyak perkara. Dalam hal ini, tidak ada sesiapa yang akan mengungkayahkannya jika bukan para aktivis dan pengurus sastera di peringkat agensi kerajaan yang terbabit dan juga persatuan-persatuan penulis yang berkemampuan.



2.4 Sokongan dana dan biaya


Wujudnya cawangan DBP di Sabah pada 1 Januari 1977 memang amat bererti bagi seluruh masyarakat dan juga para penulis. Daripada pejabat kecilnya berhampiran Rumah Persekutuan Sembulan di Jalan Tunku Abdul Rahman hinggalah berpindah ke kompleks baru di Teluk Likas yang besar dan canggih, mengingatkan masyarakat penulis di Sabah bahawa tidak ada hari-hari yang sama dan tidak juga ada tahun yang sama sepanjang masa tanpa perubahan. (Jasni Matlani: 2005). Keupayaannya melaksanakan semua objektif yang dipertanggungjawabkan memang amat membanggakan. DBP begitu unggul menyemarakkan program-program bahasa dan sastera; dari semasa ke semasa menunjukkan ketrampilan yang tidak mampu dilakukan agensi kerajaan lain.


Pada tahun-tahun 70-an dan 80-an agensi-agensi kerajaan negeri tidak menghadapi masalah dalam penyaluran dan sokongan dana kepada pihak-pihak yang memerlukan, misalnya Yayasan Sabah dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah. Yayasan Sabah suatu ketika dulu malah pernah bersama GAPENA menganjurkan peraduan menulis novel yang berakhir pada tahun 1985 setelah berlangsung sebanyak empat kali. (Abdullah Hussain: 2001). Selama hadiah ini berjalan, beberapa buah novel penting telah dapat dihasilkan yang dimulai oleh Anwar Ridhwan dengan novelnya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Azizi Haji Abdullah, Seorang Tua di Kaki Gunung, iaitu hadiah kedua GAPENA-Yayasan Sabah II, dan penulis wanita Marshitah Haji Mohd. Noor telah menggondol hadiah pertama dalam peraduan kali ketiga dengan novelnya Kemboja di Pinggir Kali. Zakaria Ali telah menjadi pemenang terakhir peraduan ini dengan karyanya yang berjudul Empangan.


Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah sebelum dipisahkan menjadi dua buah agensi berasingan iaitu Lembaga Sukan Sabah dan Lembaga Kebudayaan Sabah, juga memberikan ruang serta peluang yang luas kepada semua penggiat kesenian. Ini termasuklah kelompok-kelompok teater dan persatuan-persatuan penulis. Bagaimanapun selepas pengasingan itu terjadi program kesusasteraan telah dipinggirkan jauh. Pada 16 November 1996 Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) ditubuhkan sebagai alternatif memugarkan lagi program-program sastera lebih terancang dengan memanfaatkan dana daripada kerajaan Negeri Sabah. MBSS direalisasikan hasil perbincangan-perbincangan kecil di warung makan sehingga menjadi salah satu agenda besar di bilik mesyuarat DBP seterusnya dilebarkan di peringkat lebih tinggi iaitu kerajaan Negeri. Objektifnya ialah untuk menangani masalah perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan dasar serta kemajuan bahasa dan sastera di Sabah. (Sapawi Haji Ahmad: 1999). MBSS telah membuktikan kemampuannya menerusi penganjuran dialog keilmuan, pertemuan budayawan dan sasterawan serantau, sayembara penulisan, wacana minda yang menampilkan tokoh-tokoh sasterawan tempatan dan luar selain daripada tokoh-tokoh akademik dan tokoh-tokoh politik nasional. MBSS juga pernah menganjurkan Pertemuan Budayawan Serantau BIMP-EAGA pada tahun 2000 dan Festival Sastera Perpaduan Malaysia 2003 di Kota Kinabalu. Kejayaannya memang telah menyerlahkan sesuatu yang bermakna dalam catatan sejarah kesusasteraan tanah airnya khususnya di Sabah.


Meskipun MBSS tidak tampak beriringan lagi dengan aktiviti kesusasteraan di Sabah empat tahun ke belakangan ini atas alasan masalah pengurusan dan kewangan, namun begitu harapan masih disandarkan kepada majlis ini kerana bukan mudah mewujudkan sebuah institusi seperti MBSS. Apatah lagi untuk menempatkan sastera dan bahasa sebagai wadah pentingnya. Sungguh malang nasib anak bangsa di Sabah jika sebuah majlis yang diberi amanah melaksanakan mandat rakyat telah kesasar daripada landasan sebenar, hanya disebabkan keperluan sesetengah pihak yang berkepentingan dengan meletakkan sastera sebagai tunggangan untuk mencapai matlamat yang tersirat. Bagai enau dalam belukar melepas pucuk masing-masing; di saat keperluannya diharapkan sebuah majlis yang dahulunya menjadi wahana atau saluran utama menyelaras serta menyemarakkan kegiatan sastera dan bahasa kurang memberikan sebarang makna lagi kepada anak bangsanya. Cabaran ini harus digalas dan dipertanggungjawabkan.


Program-program pemugaran sastera di Sabah tidak mungkin dapat dipertingkatkan sekiranya penyelarasannya tidak dilakukan secara terancang terutama dalam soal pengurusan. Terlalu berharap kepada komitmen DBP tentulah kurang adil. Kerana itu juga ditegaskan bahawa agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebudayaan. Kesenian dan Warisan (Kekkwa), Lembaga Kebudayaan Negeri serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri juga harus turut memainkan peranan secara lebih proaktif, terutama dalam penyaluran kewangan tahunan masing-masing. Amat sukar menjangkakannya kerana sastera selalu menerima pemahaman yang berbeza-beza. Selagi sastera tidak dianggap sebagai bahan komoditi atau keperluan, ia tetap terus tercabar dan bersaing dengan keperluan sosial lain seperti aktiviti sukan, kesenian dan hiburan berbentuk hendonisme yang mementingkan nilai pesta semata-mata.



2.5 Budaya pop dan intelek


Budaya pop merupakan ancaman besar perkembangan sastera kita. Walaupun budaya ini jelas bercirikan aliran budaya barat, masih juga ada yang beranggapan inilah realitinya dunia masa kini. Malah budaya pop sering dikaitkan dengan industri kreatif dan peluang kerjaya yang tersendiri. Akibatnya sesetengah pihak mengambil sikap sambalewa sehingga sesuatu produk seni itu hanya berbentuk ‘separuh tanak’ atau bersifat ‘mee segera’. Ini boleh dibuktikan dengan produksi drama-drama televisyen yang tidak lebih berupa sketsa murahan atau teater bertaraf persembahan sekolah rendah. Unsur-unsur tahyul dalam filem-filem kini seolah-olah memberi laluan kepada berleluasanya ‘pemikiran jembalang’ walaupun dianggap sebagai hiburan langsung semata-mata. Kita juga dilambakkan dengan bahan-bahan bacaan yang ‘menghina’ intelek atau tahap pemikiran satu bangsa yang bertamadun dan sudah 50 tahun merdeka. (Zakaria Ariffin: 2007). Demikian juga dengan produk muzik yang tidak ubah seperti dihasilkan daripada ‘bahan-bahan terbuang’ dengan lirik lagu yang dengan megahnya mencemar bahasa Melayu. Sensitiviti pihak-pihak yang lebih mementingkan keuntungan jarang sekali berusaha memahami kepentingan budaya bangsa yang sepatutnya dipertahankan.


Lambakan bahan-bahan bacaan seperti majalah-majalah selibriti dan novel-novel popular memberikan saingan hebat membantutkan pertumbuhan citarasa sastera dan budaya membaca yang pintar. Tidak dapat dinafikan bahawa novel popular mampu menyuburkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda di samping itu mampu menggalakkan kegiatan menulis di kalangan generasi muda. (Irwan Abu Bakar: 2007). Perkara ini merupakan suatu sumbangan positif yang perlu dihargai apabila kita mengambil kira generasi muda masa kini menghabiskan banyak masa mereka di depan kelir komputer, melayari laman-laman internet yang bersifat interaksi sosial atau diskusi yang sifatnya bermutu rendah. Kesan daripada kehadiran bacaan-bacaan popular ini tentulah kemampuannya memberikan sejenis hiburan santai. Kesantaian yang diperoleh melalui pembacaan ini sekurang-kurangnya dapat melegakan minda dalam suasana kehidupan semasa yang penuh dengan tekanan. Walau bagaimanapun, kita mestilah juga prihatin terhadap hal-hal negatif yang berkaitan dengan pembacaan karya-karya popular ini. Pertama, novel jenis ini berkeupayaan memerangkap pembaca dalam suasana pembacaan intelek rendah. Hal ini memberikan sumbangan negatif terhadap pembangunan intelek masyarakat dan tamadunnya. Kedua, dalam jangka panjang, kehadiran bacaan popular yang tidak dikawal akan mengganggu perkembangan serius dalam tamadun kita, apabila tumpuan pembaca yang didominani golongan remaja lebih menjurus terhadap bahan bacaan jenis ini berbanding dengan bahan sastera yang dilihat lebih mampu membangunkan minda pembaca.


Satu kesilapan seandainya ada yang berpendapat remaja gerun memegang khazanah sastera sebaliknya gemar dengan segala yang segera (popular), malah golongan remaja ini juga tidak melihat sastera sebagai momok. Pendekatan yang diambil oleh kerajaan dengan memperkenalkan program penghayatan sastera di sekolah menengah (KOMSAS) telah memadamkan riak gundah para remaja terhadap teks sastera. Mereka bertatih mengenal cerpen dan novel berkualiti malah sudah yakin bahawa sastera bukanlah perkara berat dan berhantu (momok) tetapi sesuatu yang bernilai seni, ilmu pengetahuan, jati diri dan hiburan. Sastera termuat dalam puisi moden dan tradisi, sastera terkandung dalam wacana ilmiah dan diksi kreatif. Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad (2007) berkata: bersusah payah merenungi makna di sebalik makna memang indah. Ujian, rintangan, matapetaka, bencana dalam kehidupan kita memang indah dan diperlukan sangat kerana melaluinyalah kita membesar dengan maknanya yang sebenar serta cepat mematangkan perjalanan kita. Di situlah wujud kebijaksanaan. Di situlah tersiratnya apa yang selama ini disimpulkan sebagai estetika budaya tinggi bukan estetika budaya pop.


Sasterawan tidak terlepas daripada daya untuk membina diri dengan nilai-nilai keilmuan, dengan karya yang juga tidak sekadar lontaran emosi, tetapi memiliki pemikiran, sentuhan keinsafan serta pesan dan pedoman kepada ummah untuk membentuk peradaban. Para sasterawan juga tidak hadir sekadar untuk berkelana dengan ilham tetapi mengisi fikrah dan karya dengan ilmu dan menggilap kecintaan ummah dengan nilai-nilai hubbul ilm wal ulamak yang menjadi paksi dalam membina kecemerlangan. Upaya ini menurut Mohd Ariffin Arif (1998), menghimbau kita untuk meneruskan hijrah dalam pelbagai dimensi, termasuk peningkatan terhadap penghayatan nilai ilmu.


Kita harus menumpukan kepada pembinaan kewibawaan kerana hanya tulisan atau karya yang berwibawa sahaja yang menjamin dunia penulisan bermartabat. Kewibawaan ini pula hanya dapat diperolehi melalui kombinasi pelbagai unsur, iaitu ilmu, pengalaman, ketekunan, kekuatan dan ketajaman berfikir. Kehilangan satu unsur dalam kombinasi ini akan mengurangkan kewibawaan sesuatu tulisan. Tanpa satu unsur itu, seseorang penulis tidak mampu mencerna dapatan orang lain dan dapatannya sendiri yang akhirnya menjadikan tulisannya itu dangkal.



2.6 Serasehan sastera


Dalam konteks perkembangan sastera di Sabah, memang tidak dinafikan ia memerlukan perkembangan dunia kritikan yang baik dan sihat. Bukan tidak ada usaha pembinaan berkaitan bidang ini namun cabarannya ialah kemampuan para penulis yang membabitkan diri itu sendiri. Ada keadaan di mana ilmu kritikan sastera bukan suatu perkara yang mudah didalami. Keadaan ini digandakan lagi apabila angka kecil para ilmuan menceburi bidang ini sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung, kecuali dengan kehadiran Asmiaty Amat dan Dr.Ramzah Dambul dari Universiti Malaysia Sabah (UMS); mereka menjadikan kritikan sastera sebagai tugas tambahan selain mengajar di bilik kuliah. Lompang kritikan sastera di Sabah diisi oleh para penulis yang belajar daripada pengalaman dan ilmu bantu menerusi bengkel-bengkel kritikan yang pernah dibimbing oleh Sahlan Mohd Saman, Mana Sikana dan Jeniri Amir. Peranan penulis-penulis genre kritikan seperti Jasni Matlani, Daniel Jebon Janaun, Asmiaty Amat, Rahim Tapah, Ismaily Bongsu, Dr. Ramzah Dambul, Mohd Ariffin Ariff, Ramli Jusoh, Zaiton Ajamain, Rubiah Nordin, Datuk Ismail Abas dan Janatan Kandok wajar dihargai kerana dunia kritikan merupakan profesion yang menggabungkan ilmu, pengalaman dan komitmen yang amat tinggi. Mereka sentiasa tercabar oleh pendekatan dan teori yang terus berkembang seiring dengan mencurahnya kehadiran karya-karya kreatif para penulis.



3. MEMANDANG HARAPAN DI HADAPAN


Sudah tentu kita tidak mahu melihat harapan itu tiba dengan sendirinya kerana yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Cita-cita atau impian yang diinginkan harus dicari dan dikejar, dilaksanakan dengan penuh kewibawaan dan kebijaksanaan. Semua pihak harus berganding saranan, pandangan, buah fikiran, usaha dan tindakan bersama-sama. Peranan komuniti penulis, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta media-media masa perlu digemblengkan kerana dukungan komuniti tersebut amat penting sebagai tempat bersandarnya harapan-harapan besar meletakkan sastera dalam kedudukan yang bermaruah.



3.1 Peranan penulis


Keunikan citra budaya Sabah menjanjikan perolehan serta bahan-bahan unik yang boleh diuniversalkan sebagai hasil karya sastera yang unggul. Biasanya dunia akan mengungguli citra sesuatu bangsa menerusi khazanah asli dan semula jadi bangsa berkenaan. Dalam konteks ini Sabah memiliki ciri-ciri sedemikian. Para penulis, pengkaji dan peneliti sastera di Sabah seharusnya menggunakan apa juga hasil perolehan yang dimaksudkan. Kepelbagaian rumpun etnik direncamkan dengan bermacam-macam elemen budaya menawarkan ruang serta isu penulisan yang sangat luas dan unik.


Beberapa orang penulis di Sabah telah menghasilkan novel-novel berkaitan seperti Azmah Nordin, novelis wanita yang dikagumi di Malaysia menghasilkan novel Kukui dan Dukanya Abadi serta beberapa novel lain, yang berkaitan budaya suku kaum tempatan di sabah berdasarkan pengalaman dan interaksinya dengan masyarakat kaum berkenaan. Para penulis lain wajar mencontohi kegigihan Azmah yang begitu komited menyelesaikan kewibawan seorang penulis. Begitu juga sasterawan Datuk Ismail Abas, penerima S.E.A Write Award berjaya menerawang hati budi masyarakat tempatan yang kaya dengan adat, budaya, kepercayaan serta pandangan hidup mereka yang kemudiannya diaplikasikan dalam novel-novel beliau seperti Ngayau dan Bagaton.


Usaha kedua-dua novelis yang disebutkan ini wajar diteruskan oleh penulis baru. Pendekatan mereka harus juga ditumpukan kepada isu-isu lokal selain hal-hal global dan semasa dalam negara. Novel-novel popular yang sedang memenuhi pasaran masa ini harus juga diimbangi dengan tema-tema sastera yang boleh diterima semua golongan masyarakat. Jika golongan remaja memilih karya-karya popular, bagaimana pula golongan dewasa yang sederhana dan golongan elit? Wajarlah harapan ini disandarkan kepada para penulis meletakkan kewibawaannya dengan melahirkan karya-karya besar berlatarbelakangkan gaya pemikiran dan penulisan yang pelbagai. Ini boleh dianggap sebagai stail yang eksotik dan melahirkan identiti dan keistimewaan tersendiri.


Penulis disarankan menyediakan perancangan, strategi yang konkrit dan global untuk menghasilkan karya sastera yang terbaik dan tinggi nilai estetikanya. Penulis juga harus menggembleng seluruh potensi dan bakat yang ada untuk berbakti dan berbudi kepada masyarakat, bahkan menjadi khalifah yang baik di muka bumi ini. Untuk mencapai sesuatu yang baik dan cemerlang, para penulis seharusnya mempunyai mental dan fizikal yang cukup serta peralatan yang boleh membantu untuk mencapai matlamat itu. Penulis perlu berubah, aktif dan bertindak balas dengan apa juga isu serta masalah yang berlaku di sekelilingnya. Penulis tidak boleh menyisihkan diri atau hanya bersandarkan para perasaannya semata-mata, sehingga mabuk dan tidak menulis sesuatu yang berfaedah untuk agama, bangsa dan Negara. Sebaliknya penulis hendaklah menggunakan kelebihannya untuk menegakkan keadilan serta kesejahteraan.


Komuniti sastera tentulah tidak berasa bahawa dunia sastera berada pada tahap yang menyebabkan mereka selesa tanpa meletakkan harapan-harapan baru. Dunia sastera belum sampai di permukaan yang rata apabila semua yang menikmati dan melihatnya merasa bahagia. Masih banyak kendala yang harus difikirkan, masih banyak usaha yang mesti dilakukan, masih banyak ruang dan niche yang perlu diteroka. Kita perlu memperkasa keberadaan sastera di tengah-tengah masyarakat yang semakin alpa terhadap nilai keindahan dalam kehidupan. Neraca pertimbangan mereka lebih menjurus kepada hiburan yang melampau serta kepentingan materialisme semata-mata. Para penulis mestilah meletakkan diri masing-masing sebagai penganalisis yang sensitif terhadap hal-hal begini. Mereka perlu memahami keinginan ramai dengan mengubah cara hidup dan sentiasa berada di dalam kehidupan komuniti berkenaan. Para penulis disarankan banyak mengemukakan buah fikiran mereka di peringkat nasional menerusi media-media yang sedia ada. Mereka juga memperolehi sebanyak mungkin perolehan sebagai bahan perbincangan yakni bukan sekadar isu-isu besar yang mendominasi minda perdana tetapi isu-isu semasa yang intim dalam fikiran masyarakat majoriti.



3.2 Peranan agensi-agensi kerajaan


Agensi-agensi kerajaan pula harus lebih proaktif dan positif terhadap keperluan yang sepatutnya diberikan kepada individu serta kelompok seniman untuk melestarikan kegahan sastera dalam pembangunan negara. Pembangunan yang diwara-warakan tidak sewajarnya mengabaikan kehadiran nilai-nilai sastera. Misalnya ketika menyediakan perancangan bajet tahunan pembangunan negara hendaklah dipastikan bahawa pelestarian sahsiah bangsa juga perlu diberikan perhatian sama. Interaksi sosial harus lebih saksama di pelbagai peringkat dan pendekatan. Komuniti sastera merasa iri terhadap pemberian kemudahan yang berlebih-lebihan kepada aktiviti sukan dan kesenian memang bersifat klasik. Namun realitinya memang demikian kerana sastera bagaikan anak tiri yang sering dipinggirkan. Apa yang terjadi selama ini kegiatan sastera hanya berupa keperluan seadanya sahaja.


Begitu juga aktiviti penerbitan buku-buku yang bersifat ilmu dan juga kompilasi karya selain bahan-bahan bacaan popular perlu dijadikan program utama pihak-pihak yang berkaitan. Masalah besar di Sabah ialah ketiadaan penerbit yang benar-benar berwibawa dan memahami konsep penerbitan buku-buku bacaan yang sebenarnya. Kebanyakannya lebih menjurus kepada soal keuntungan semata-mata. Para penulis yang merancang menerbit dan mencetak karya mereka akan berhadapan dengan kos yang amat tinggi. Belum lagi berhadapan dengan masalah pemasaran yang bukan profesion mereka. Perpustakaan-perpustakaan tidak mungkin membeli buku-buku yang diterbitkan itu dengan jumlah yang besar.


Namun demikian Perpustakaan Negeri Sabah memberikan laluan terbaik kepada penulis-penulis Sabah memasarkan buku masing-masingr. Begitu juga Perpustakaan Negara Malaysia menawarkan pembelian buku terus dengan penulis. Namun begitu berapa ramaikah penulis berkeupayaan mencetak buku dengan kos mereka sendiri? Satu-satunya penerbit yang mantap tentulah DBP. Bagaimanapun DBP mempunyai birokrasi yang perlu diikuti selain syarat-syarat yang ketat dan jumlah buku yang terhad untuk diterbitkan, misalnya DBP Sabah hanya menetapkan tidak kurang 10 buah buku sahaja setahun. Bagi merancakkan lagi senario penerbitan ini diharapkan ada syarikat-syarikat atau individu korporat tampil menghulurkan bantuan pembiayaan. DBP boleh dijadikan urus setia melalui unit penerbitannya menyelaras manuskrip-manuskrip para penulis. Ini termasuklah pelantikan penilai dan kerja-kerja penyuntingan.


Pendekatan yang paling baik ialah dengan mewujudkan jabatan penerbitan di bawah kendalian kerajaan Negeri. Jabatan ini akan bertindak mencari perolehan jangka panjang berkaitan bahan-bahan penerbitan daripada para penulis seluruh negeri. Peluang haruslah diberikan kepada semua warga penulis yang mampu membawa idea-idea bernas mengenai negeri Sabah menerusi pendekatan sastera yang sesuai. Ke arah pendekatan ini, MBSS yang sedia ada perlu dihidupkan semula dengan melantik barisan ahli majlis baru yang lebih berwibawa. Perancangan majlis ini seperti menubuhkan Akademi Karyawan Sabah dengan hasrat membina kumpulan penulis dan karyawan yang terlatih dan berilmu perlu difikirkan kembali. Menerusi akademi seperti ini gerakan sastera lebih terarah dan terancang.


Apresiasi sastera juga amat penting dilaksanakan misalnya dalam program yang sedia ada iaitu Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) yang dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini bagaimanapun perlu dilihat sebagai usaha yang berterusan dan dengan komitmen yang paling tinggi. PPSB diperkenalkan pada tahun 2005 di bawah kelolaan DBP. PPSB menjadi salah satu lagi komponen tambahan latihan di kalangan para pelatih PLKN yang terdiri daripada belia dan beliwanis berusia 18 tahun. Bagaimanapun selepas empat siri berlangsung, PPSB semakin mengecil dari segi jumlah hari latihannya iaitu daripada 6 hari kepada 3 hari. Ini bermakna interaksi antara para pelatih dengan fasilitator memberi kesan yang besar ke arah keberkesanan program tersebut. Program ini kini seolah-olah menjadi aktiviti ad-hoc selain ada masanya terpaksa pula berkompromi dengan pihak kem PLKN ketika menentukan tarikh latihan. Jika ini tidak diatasi dan dikaji semula oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara dan DBP secara khusus, PPSB akan terkubur daripada hasrat dan matlamat asalnya iaitu antara lainnya “mendukung usaha Kerajaan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda Malaysia, menerapkan nilai-nilai murni untuk melahirkan generasi muda yang cergas, berwawasan dan berjiwa kental dan memupuk minat dan apresiasi terhadap sastera dan budaya di kalangan generasi muda.”


Nilai-nilai patriotisme juga sering dikaitkan dengan aktiviti sayembara deklamasi puisi. Setiap tahun aktiviti ini dilaksanakan sebagai bahagian daripada program menyambut hari kemerdekaan. Namun demikian sayembara puisi yang diadakan setiap tahun kini kelihatan semakin hambar selepas Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia mengambil alih aktiviti ini daripada GAPENA. Di Sabah tanggungjawab ini disandarkan kepada Badan Bahasa Sabah (BAHASA) semasa pemilihan peringkat bahagian manakala di peringkat akhir dilaksanakan oleh KEKKWA Negeri. Sebelum ini DBP mampu menanganinya dengan cemerlang meskipun belum ada peserta Sabah mendapat sebarang tempat teratas kecuali pada tahun 2006 apabila Cikgu Dulamid Rudin menjuarainya di peringkat Nasional. Tujuan sayembara ini antara lain untuk menarik minat serta impak cintakan tanah air di kalangan rakyat sambil menampilkan bakat-bakat pendeklamasian puisi. Kita ingin melihat perkara kedua tujuan yang dimaksudkan iaitu berkaitan dengan pencungkilan deklamator puisi yang terbaik. Malangnya setiap tahun kita menyaksikan tokoh-tokoh pendeklamasi yang sama; yang membezakan mereka hanyalah kedudukan tempat dalam sayembara yang dianjurkan. Ada peserta yang hanya layak digelar ‘juara kampung’. Dia mampu menampakkan ‘taji’ dalam gelanggang negerinya tetapi sentiasa tewas apabila berada dalam gelanggang yang lebih besar. Tiada peningkatan dilakukannya walaupun berada dalam gelanggang yang sama hampir setiap tahun sejak sayembara ini dianjurkan. Sudah sampai masanya, senario ini diubah. Pengurus aktiviti ini harus memandang lebih jauh ke hadapan bukan kembali ke belakang jika mahu menjadikan deklamasi puisi sebagai profesion yang diminati komunitinya. Kita percaya sekiranya segala perancangan dilakukan secara profesional sebarang kecatatan atau kelemahan masih boleh diatasi. Sekiranya aktiviti pengisian kemerdekaan ini dianggap sebagai ‘kain perca’ semata-mata gerakan sastera kita juga akan turut terjejas. Pelbagai tindakan boleh dilakukan oleh agensi-agensi yang dipertanggungjawsabkan. Mereka boleh melantik para mantan juara misalnya, sebagai fasilitator kepada bakat-bakat baru. Pengalaman mereka perlu dilebarkan lagi di samping berusaha mempelbagaikan kemahiran agar kegiatan seperti ini juga mampu menarik seluruh lapisan rakyat meminatinya.



3.3 Peranan media


Kita harus berani menyatakan bahawa para penulis Sabah masih mencari arah masing-masing. Mereka terus mencari pentas untuk memasyarakatkan karya mereka. Ruang muka surat media massa yang terhad menyebabkan penyaluran karya sastera bergerak lembab. Tidak ada ruang yang membolehkan penulis menyiarkan tulisan-tulisan mereka dalam genre lain misalnya kritikan atau rencana sastera. Pemikiran-pemikiran lateral sastera juga membantu menjana pembangunan minda masyarakat sejajar dengan pembangunan bangsa. Oleh yang demikian, penyiaran bahan-bahan sastera di media-media massa menerusi DBP wajar diteruskan dengan melebarkan lagi genre yang sedia ada. Para penulis di Sabah amat bertuah dengan terbitnya majalah Wadah dan Jendela Sabah oleh DBP. Kedua-dua media ini menjadi pemangkin penting bagi penyiaran karya-karya terbaik penulis-penulis Sabah.


Kewibawaan majalah-majalah yang disebutkan ini wajar dimantapkan lagi dengan meluaskan ruang dan peluang sebanyak mungkin bahan-bahan sastera disiarkan. Barangkali majalah-majalah ini boleh diubah daripada berbentuk berkala empat edisi setahun kepada penerbitan setiap bulan. Ini penting kerana bahan-bahan sastera harus diletakkan dalam sebuah wadah yang sesuai meskipun media surat khabar merupakan tradisi cetakan untuk bahan-bahan sastera berkenaan. Selain daripada itu ganjaran yang sewajarnya harus diberikan kepada para penulis sebagai penghargaan usaha mereka melahirkan khazanah fikrah yang berharga. Harapan ini sudah sering diutarakan agar semua media massa memberikan bayaran sagu hati kepada setiap karya yang disiarkan. Namun siapakah yang boleh menjanjikan pihak pengurusan media-media berkenaan untuk memahami tuntutan para penulis yang memang berhak mendapatkannya?



3.4 Peranan badan korporat dan swasta


Apakah peranan pihak korporat dalam usaha penjanaan sastera? Dalam konteks Sabah jawapannya jauh sekali. Mesra seni budaya tidak pernah terjadi dalam kalangan para korporat, demikian halnya dengan syarikat-syarikat gergasi minyak atau komunikasi yang beroperasi di Sabah. Sekiranya terserlah sedikit kesedaran mesra seni budaya ini, kita yakin pihak-pihak yang dimaksudkan mempunyai keupayaan melakukan anjakan yang memberi manfaat kepada penggiat-penggiat seni itu sendiri. Masalah pembiayaan merupakan masalah paling pokok dalam apa juga kegiatan sastera. Misalnya pementasan teater. Dengan dana yang kecil pementasan teater menjadi aktiviti ala kadar dan dalam sesetengah hal ia bertaraf asal jadi. Persoalannya ialah sampai bila perbuatan seadanya ini menjadi budaya para penggiat teater. Memaknakan produksi teater seharusnya diletakkan pada aras yang paling tinggi dan profesional; barulah perbincangan-perbincangan untuk memartabatkan teater meyakinkan pihak-pihak yang diajukan bantuan biaya. Semua kumpulan teater perlu memadukan perancangan dan buah fikiran daripada bertelagah menentukan grup atau kumpulan teater mana paling berupaya ‘memiliki’ pentas teater di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah dalam projek Teater Perdana DBP yang diadakan sempena menyambut Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah. Jika wujud kesepaduan idea dan perancangan ia merupakan satu lagi kekuatan ke arah mesra seni budaya di kalangan korporat dan syarikat-syarikat berkenaan.



4. PENUTUP


Mudah-mudahan sastera Melayu akan terus menyerlah, cemerlang, gemilang dan seterusnya terbilang tanpa sempadan zaman. Semua pihak harus menggerakkan potensi yang ada untuk merealisasikannya. Kepekaan, persiapan diri serta visi yang tersusun akan menentukan keberkesanan bidang sastera sebagai satu elemen penting dalam pembentukan masyarakat madani, iaitu masyarakat yang seimbang dari segi pencapaian ilmu dan materialnya. Paparan yang tergambar menerusi makalah ini terletak pada tangan dan gerakan kerja semua pihak yang diperkatakan. Jika sikap tidak peduli dijadikan pilihan, sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab terus diamalkan, maka segala cabaran dan harapan masa depan yang menjadi perdebatan itu hanya berupa kata-kata beku di atas kertas semata-mata.


Tugas dan agenda sastera memang tidak pernah ada noktahnya. Tugas-tugas pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera Melayu haruslah terus dimantapkan dan diusahakan dengan lebih gigih lagi di samping mengkaji segala kelemahan untuk kebaikan bersama. Budaya kerja dan budaya berfikir amat diperlukan untuk menjamin kemajuan kedua-dua budaya ini seiringan. Insya-Allah kemajuan dan kecemerlangan akan terserlah, sastera Melayu akan bertambah baik dan semakin kukuh. Secara tidak langsung penulis dan semua pihak yang saling berhubungan akan lebih dihormati, bermaruah dan berketrampilan sesuai dengan keindahan Negeri di Bawah Bayu.




25 Julai 2007


P U S T A K A I Q B A L N A Z I M


Kota Kinabalu S A B A H


© Hasyuda Abadi 2007


http://hasyuda-abadi.blogdrive.com


019-8020475




BIBLIOGRAFI



Abdullah Hussain, 2001. Perjalanan Mencari Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



A.Aziz Deraman, 2000. Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



A.Aziz Deraman, “Sastera Melayu dalam Konteks Pembinaan Negara”. Kertas kerja Perkampungan Sasterawan di Beringgis Resort Papar, anjuran DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu, 23 - 25 Ogos 2004.



Dr. Datu Bandira Datu Alang al-Haj (1999). Sasterawan: Nukleus Sosialisasi Masyarakat Alaf Baru. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.



Dr. Mohammed Haleem Haji Razi (1995). Budaya Ilmu: Ke Arah Pemantapannya di Kalangan Penulis di Sabah. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.



Hassan Ahmad (2002). “Budaya Ilmu”. Imbasan (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Hasyuda Abadi, ”Mencari Megakarya: Gagasan Generasi Baru”. Kertas kerja Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Penulis Nasional dan Persatuan Penulis Johor di Pontian Johor, 3 - 6 Jun 2005.



Irwan Abu Bakar. “Novel Popular dan Pembangunan Minda” dlm. Dewan Sastera, Februari 2007.



Jasni Matlani, “Quo Vadis Sastera Sabah?” dlm. Wadah, April 1999.



Jasni Matlani, “Suasana Perkembangan Sastera Melayu Mutakhir di Sabah” dlm. Wadah, Disember 2005.



Johan Jaaffar (1989). Sastera Malaysia untuk Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Keris Mas. “Sastera Harus Mengangkat Darjat Manusia” dlm. Dewan Sastera, Oktober 1978.



Sapawi Haji Ahmad. “Wawancara: Ke mana Arah Sastera Sabah” dlm. Wadah, April 1999.


Zakaria Ariffin. “Industri Kreatif dan Peluang Kerjaya” dlm. Dewan Sastera, Jun 2007.





B i o d a t a



HASYUDA ABADI ialah nama sebenar Sukor Haji Usin, dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Anak pertama daripada enam beradik yang terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki. Berketurunan Murut-Jawa, Hasyuda memulakan pendidikannya di Sekolah Kebangsaan Lumadan, Beaufort (1967-1972) kemudian di Sekolah Menengah St John, Beaufort di peringkat menengah (1973-1978). Setelah bekerja beliau mendalami bidang teknologi maklumat di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM). Dalam bidang penulisan Hasyuda amat meminati penulisan kreatif genre puisi, cerpen, esei dan kritikan sastera di samping penulisan skrip drama. Mula menulis pada tahun 1979 menerusi puisi pertamanya yang tersiar di akhbar Sabah Times berjudul ‘Mengapa Oh Mengapa’. Hasyuda menerima Hadiah Sastera Malaysia dalam genre puisi pada tahun 1985 dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007 dan 2008 dalam genre puisi dan cerpen.


Hasyuda merupakan Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah bimbingan Dato' Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Hasil daripada program ini, beliau telah menghasilkan sebuah antologi puisi panjang berjudul Balada Paduka Mat Salleh yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1989. Hasyuda juga pernah menyertai Program Penulisan Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara) pimpinan Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M. dan Taufik Ismail di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997. Pada tahun 1995 skrip drama pentas beliau berjudul ‘Takungan Bayu’ telah meraih hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah. Anugerah sastera terbaik Hasyuda ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah pada tahun 1997, Hadiah Tinta Sastera (1999), Hadiah Karya Sulung (2001) dan Hadiah Tinta Sastera (2004).


Hasyuda juga menggunakan nama pena Mirza Fansuri, Adi H.Abadi, Tampurung Bubus, Ardi Bayu dan Iqbal Nazim dalam karya-karyanya. Kebanyakan karya Hasyuda disiarkan dalam media-media massa seperti Harian Ekspres, New Sabah Times, Borneo Mail, Utusan Borneo, Wadah, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Jendela Sabah, Shautul Islam, Bacaria dan Bahana. Di samping itu beliau juga turut menyumbangkan karya-karyanya dalam penerbitan antologi puisi bersama di Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia, antaranya Sematan (GPPS, 1984), Titian Rindu (DBP Sabah, 1987), Kekasih (DBP Sabah/MUIS, 1987), Perubahan (DBP, 1988), Siapakah Antara Kita (DBP, 1988), Ujana Laut Ujana Hati (DBP Sabah/MUIS, 1989), Mengenang-Mu (DBP, 1989), Nyanyi Dari Desa (BAHASA/ANAK SENI, 1990), Perkasihan Musim (DBP Sarawak, 1992), Luka Bosnia (BAHASA, 1992), Nafas Utara Borneo (DBP Brunei, 1994), Graffiti Gratitude (Penerbit Angkasa Bandung, 2001), Sapaan Bonda (DBP Sabah/MUIS, 2002), Kota Kita Wajah Kita (Jawatankuasa Pelaksana Pengucapan Puisi Wilayah-Bandar Raya 2003), ‘Iktikaf (DBP Sabah/MUIS, 2003), Cinta Pohon Tamar (Perniagaan Jahabersa Johor Bahru, 2004), Nyanyian Iman (DBP Sabah/MUIS, 2004) dan Manuskrip Luka Bangsa (PENA, 2006). Antologi puisi persendirian Hasyuda ialah Balada Paduka Mat Salleh (DBP,1989), Akar Cahaya (IPS, 1997), Datang Kembali (IPS, 1997), Menginai Badai (DBP Sabah, 2004) dan Sinar Sirna (DBP, 2006). Cerpen-cerpen Hasyuda termuat dalam Kumpulan cerpen Sepasang Sayap Jelita (INPES, 2004) dan Antologi cerpen bersama Rantau Utara (DBP Brunei,1989).


Hasyuda memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan menjadi ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA). Sedang berkhidmat di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sabah Kota Kinabalu. Hasyuda boleh dihubungi menerusi e-mel: hasyuda@yahoo.com atau berinteraksi menerusi blognya: http://hasyuda-abadi.blogdrive.com.


<!--[if !supportFootnotes]-->




<!--[endif]-->

<!--[if !supportFootnotes]-->[1]<!--[endif]--> Makalah ini disampaikan dalam Dialog Borneo-Kalimantan Ke-IX pada 3-5 Ogos 2007 di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.

Khamis, Januari 01, 2009

Hasyuda Abadi Bertemu Datuk Haji Nasir Tun Sakaran


SEBAGAI bahagian ahli masyarakat, para pemimpin juga peka terhadap perkembangan sastera dan budaya bangsanya. Masa yang telah terisi oleh kesibukan melayani keperluan rakyat tidak dijadikan alasan bahawa mereka buta sastera. Setidak-tidaknya memberi galakan sastera kepada ahli keluarga seperti membeli buku atau keperluan-keperluan berkaitan. Kepekaan para pemimpin ini menjadi lebih bermakna apabila mampu meningkatkan upaya menjana mata fikir generasi membangunkan kehidupan menerusi sastera dan budaya itu yang mereka sendiri minati. Mereka berpendapat menerusi pelbagai aktiviti sastera dan budaya yang dianjurkan mampu dijadikan asas bernas ke arah pembentukan modal insan yang murni serta memberi kesan positif khususnya kepada generasi muda. Program Penghayatan Sastera dan Budaya di kem-kem Latihan Khidmat Negara dan program Islam Hadhari merupakan contoh program yang dimaksudkan. Di samping itu, peranan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan para penulis tidak harus dipandang ringan dalam usaha mereka memelihara kemurnian Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan. Intipati ini terluah dalam pertemuan wakil Jendela Sabah, Hasyuda Abadi (HA) dengan Yang Berhormat Datuk Haji Nasir Tun Haji Sakaran (NS) Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Senallang, Semporna. Datuk Nasir turut merungkai cabaran yang harus ditatang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di Sabah selepas 50 tahun kemerdekaan Negara.

HA: Apakah Datuk minat membaca buku-buku sastera?

NS: Membaca merupakan aktiviti yang sangat bermanfaat dan setiap orang hendaklah berusaha memupuk minat membaca buku-buku sastera seperti novel. Bagi kalangan pemimpin, khususnya seperti saya seorang anggota pentadbiran kerajaan Negeri dan juga Ahli Yang Berhormat yang sepanjang masa sibuk dengan tugas, masa untuk membaca memang agak terhad. Akan tetapi pada kesempatan yang ada, saya membaca buku-buku berbentuk riwayat hidup tokoh-tokoh dan dokumentasi perjuangan, agama dan politik.

HA: Bagaimana pula dengan keluarga Datuk?

NS: Saya mempunyai lima orang anak yang memang sejak kecil telah ditanamkan dengan minat membaca. Novel menjadi salah satu bahan bacaan yang mereka minati.

HA: Mungkin Datuk mempunyai cara tersendiri bagaimana pemupukan minat membaca seharusnya menjadi amalan setiap keluarga dalam masyarakat kita?

NS: Salah satu daripada kaedah saya memupuk minat membaca di kalangan anak-anak ialah dengan mengunjungi kedai-kedai buku setiap kali membawa keluarga bersiar-siar di gedung beli belah atau pasar raya. Apabila melakukan tugasan rasmi dan bermesyuarat di Kuala Lumpur atau di luar negara, salah satu daripada buah tangan yang akan saya bawa pulang ialah bahan bacaan, tidak kira sama ada ianya novel atau majalah.

HA: Novel ataupun cerpen ialah sebuah rakaman kehidupan manusia yang dipindahkan dalam bentuk kreatif agar menarik dibaca dan mesejnya mudah disampaikan kepada masyarakat pembaca. Pada pandangan Datuk, bagaimanakah para penulis yang disifatkan sebagai modal insan ini dapat membantu sejajar dengan usaha Kerajaan membangunkan Negara?

NS: Kreativiti seseorang penulis perlu dipelbagaikan mengikut keadaan semasa. Selain daripada dapat menyajikan sebuah kisah yang menarik, ia juga membolehkan masyarakat sentiasa peka kepada isu-isu semasa. Dalam hal ini tema cerita hendaklah bersifat terkini. Plot ceritanya juga perlu mudah difahami dan banyak menggunakan sketsa kehidupan yang sebenar. Dengan itu, ia akan dapat menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri positif yang boleh dipelajari oleh para pembaca. Akhirnya matlamat melahirkan modal insan berkualiti dapat dicapai menerusi pembacaan bahan-bahan ilmiah ini.

HA: Apakah Datuk fikir perlu diwujudkan sebuah badan penerbitan buku-buku seperti novel, majalah atau kajian berkaitan sastera dan budaya di Negeri ini supaya peluang para penulis menghasilkan karya mereka lebih luas?

NS: Walaupun tidak mempunyai jabatan atau agensi yang khusus dalam memantau perkembangan atau keperluan bahan-bahan bacaan, namun kerajaan Negeri memberikan sokongan berterusan kepada usaha penerbitan buku-buku berkaitan sastera dan budaya melalui peranan Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Muzium, Jabatan Arkib Negeri, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan pelbagai jabatan serta agensi berkaitan di Sabah.

HA: Karya-karya sastera berunsur Islam juga menjadi salah satu kecenderungan para penulis di Sabah. Apakah saranan Datuk agar kecenderungan tersebut dapat dilestarikan dengan pendekatan Islam Hadhari ketika memaparkan nilai-nilai sejagat dalam karya mereka?

NS: Tahun 2007 merupakan tahun bagi pelaksanaan Islam Hadhari. Dalam hubungan ini, cerita-cerita atau karya-karya yang banyak menonjolkan prinsip-prinsip Islam Hadhari wajar diketengahkan. Dalam prinsip berkaitan dengan memperkasakan ilmu pengetahuan umpamanya, cerita itu hendaklah menjurus kepada kelebihan memiliki ilmu yang akan membawa kejayaan hidup di dunia dan kecemerlangan di akhirat.

HA: Budaya juga tidak dapat dinafikan lahir daripada kehidupan. Cara hidup kita mencerminkan sesebuah budaya sedang dialami. Dalam hubungan budaya dengan masyarakat setempat bagaimanakah peranan etnik-etnik tempatan dapat merealisasikan pembentukan sebuah Negara bangsa yang disegani bangsa-bangsa di dunia?

NS: Dewasa ini terdapat perkembangan positif dari kalangan penulis berasal dari Sabah. Secara langsung mesej atau latar cerita yang diangkat ialah yang berkisar kepada kehidupan masyarakat etnik negeri ini. Walau bagaimanapun garapan cerita mereka itu perlu bersifat universal yakni boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa. Minat audiens atau pembaca dari luar negara perlu diperolehi, barulah ia berupaya menonjolkan kekuatan bangsa Malaysia.

HA: Salah satu program kerajaan untuk memberikan kekuatan bangsa kita ialah menerusi Program Penghayatan Sastera dan Budaya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di mana nilai-nilai pemupukan cintakan Negara disalurkan kepada generasi muda. Sejauh mana program ini boleh dimanfaatkan oleh golongan berkenaan?

NS: Program yang berteraskan penghayatan sastera dan budaya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan salah satu teras latihan yang dijalankan di PLKN. Saya percaya pergaulan mesra yang sentiasa diceriakan dengan aktiviti-aktiviti berkumpulan akan lebih mengeratkan lagi integrasi di kalangan anak-anak muda pelbagai keturunan dan strata hidup serta agama. Sememangnya program ini memberi manfaat yang besar kepada usaha memupuk semangat cintakan Negara.

HA: Kesedaran masyarakat terhadap pentingnya Bahasa Melayu dalam apa juga bidang masih pada tahap minimum terutama sekali di kawasan yang jauh dari bandar. Contohnya masih ada papan-papan tanda yang mengalami kesalahan ejaan dan sebagainya. Sebagai orang bertanggungjawab terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sabah, apakah komen atau saranan Datuk untuk menangani perkara ini?

NS: Bahasa Melayu memang telah lama menjadi asas perhubungan kepada masyarakat Malaysia. Ketirisan Bahasa Melayu di kawasan luar bandar tidaklah begitu besar cacatnya. Dengan pendekatan Kementerian Pelajaran Malaysia menggerakkan pembangunan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar pasti akan mengatasi kelemahan Bahasa Melayu ini. Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis-majlis Daerah mempunyai bidang kuasa dalam menguatkuasakan agar kesalahan ejaan ini dapat dielakkan. Kesedaran ini masih baru dan berlaku kemajuan dalam mempastikan papan tanda tidak mengalami kesalahan ejaan. Selain itu, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) perlu memainkan peranan yang sama dalam menimbulkan kesedaran di kalangan orang awam. Sokongan mereka dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pemerkasaan Bahasa Melayu perlu dipelbagaikan dan diperhebatkan.

HA: Tahun 2007 merupakan detik penting bagi Negara kita yang akan merayakan Jubli Emas Kemerdekaan. Sebagai mengisi detik-detik penting ini dan zaman mendatang, apakah harapan Datuk terhadap peranan dan tanggungjawab DBP yang semakin mencabar dalam pembinaan bahasa dan sastera kita khususnya di Sabah?

NS: 31 Ogos 2007 menandakan Negara sudah merdeka selama 50 tahun lamanya. Selama tempoh kemerdekaan itu, telah banyak kemajuan dari segi pembangunan prasarana dilakukan oleh para pemimpin kita. Sekarang kita sedang melangkah masuk ke era globalisasi yang jika tidak diharungi dengan cukup persiapan akan menenggelamkan bahasa dan sastera bangsa yang telah bertahan selama 50 tahun setelah ia hampir dikuburkan pada 50 tahun yang lalu. Dalam hubungan ini DBP perlu merancang strategi yang mengarah kepada usaha menangkis serangan anasir yang ingin merosakkan bahasa dan sastera, khususnya menerusi medium teknologi maklumat. Sebagai contoh, jika seseorang itu tidak mesra IT dan tidak berhati-hati atau prihatin kepada penulisannya melalui komputer, ia akan mendapati bahawa berlaku keselahan ejaan disebabkan oleh komputer yang digunakan telah diprogramkan menggunakan bahasa Inggeris. Sastera asing yang melampau juga perlu ditapis daripada dengan begitu mudah menjadi bacaan masyarakat kita. Untuk itu perlu ada strategi berkaitan dengan perkara ini direkabentuk oleh pihak DBP.

BIODATA

DATUK Haji Nasir Tun Haji Sakaran dilahirkan di Semporna pada 20 Ogos 1953. Beliau merupakan anak ketiga Tun Haji Sakaran Dandai, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-8. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajjah Rokiah Haji Badar pada tahun 1978 dan telah dikurniakan lima orang cahaya mata.

Datuk Haji Nasir memulakan persekolahannya di Government Primary School Semporna (sekarang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna) pada tahun 1964 sehingga darjah lima. Pada tahun 1969 beliau berpindah ke Sekolah Rendah St. Patrick Tawau dan seterusnya ke Sekolah Menengah St. Patrick Tawau pada tahun 1970-1973 sebelum berhijrah ke Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Bagaimanapun jangka masa persekolahan di sekolah ini tidak lama kerana menerima tawaran belajar di peringkat ‘A’ dan ‘O’ Level di London. Selepas itu Datuk Haji Nasir meneruskan pengajiannya di Taylor College dan Cyme College Kuala Lumpur sebelum melanjutkan lagi pelajarannya di University of San Francisco Amerika Syarikat.

Selepas memperolehi B.A. in Government and History dari University of San Francisco pada tahun 1980, beliau kembali ke Sabah. Beliau mengusahakan perusahaan sendiri sebagai peraih ikan di Kota Kinabalu. Pada tahun 1981 hingga 1985 Datuk Haji Nasir berkhidmat pula sebagai Pengurus Besar sebuah ladang kelapa sawit iaitu Ladang Sabdi Sdn Bhd. Namun begitu, pada tahun 1985, beliau beralih semula kepada perusahaan yang pernah diceburinya sebelum ini tetapi bukan sebagai peraih tetapi sebagai nakhoda kapal laut dalam. Disebabkan pelbagai masalah dan dugaan seperti berhadapan dengan pihak berkuasa perairan Negara jiran Indonesia yang menimbulkan kerisauan anak-anak kapalnya dan kos pembaikan enjin serta peralatan perkapalan yang agak tinggi, akhirnya pada penghujung tahun 1987, Datuk Haji Nasir kembali semula secara sepenuh masa mengurus Ladang Sabdi Sdn Bhd.

Pada bulan Disember 1980 ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) kawasan Sulabayan, beliau telah dipilih sebagai calon dan seterusnya memenangi kerusi DUN berkenaan atas tiket BN-USNO. Beliau menggantikan ayahnya yang telah melepaskan kerusi kawasan tersebut. Ketika itu kerajaan negeri Sabah diperintah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS). Datuk Haji Nasir meneruskan perniagaannya sebagai pembekal bahan makanan mentah dan bermasak sehinggalah pada tahun 1994 apabila negeri Sabah ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Penerbangan Sabah selepas memenangi semula kawasan DUN Sulabayan dalam Pilihan Raya Umun DUN tahun berkenaan. Bermula daripada detik itu Datuk Haji Nasir menghentikan urusan perniagaannya bagi membolehkan beliau memberikan tumpuan sepenuh masa kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Yang Berhomat.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Perusahaan semasa kerajaan Negeri Sabah ditadbir oleh tiga Ketua Menteri iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said disusuli Yang Berhormat Datuk Yong Teck Lee dan Yang Berhormat Tan Sri Bernard Dompok. Pada tahun 1999, beliau terus unggul memenangi kerusi DUN Sabah tetapi menerusi kawasan DUN yang baru diwujudkan iaitu Senallang. Di bawah kabinet Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam ketika itu, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Sabah sehinggalah di era pentadbiran Yang Berhormat Datuk Chong Kah Kiat. Selepas pilihan raya umum pada tahun 2004 yang mengekalkan Datuk Nasir sebagai ADUN Senallang, beliau dilantik Menteri di Jabatan Ketua Menteri.