Rabu, Disember 31, 2008

Nazmi Yaakub bertemu Hasyuda Abadi

Oleh Nazmi Yaakub

BAGAIMANAKAH Hasyuda Abadi menceburkan diri ke dunia sastera?
Saya menyertai Kumpulan Anak Seni pimpinan Zaiton Ajmain pada 1979 dengan pembabitan awal di bidang tarian. Saya mula menulis secara serius pada 1981 apabila menghantar karya ke akhbar secara berterusan sehingga puisi saya, Salam Buat Kekasih, memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada 1986.

Kekuatan Hasyuda dilihat pada puisi. Apakah Hasyuda bersetuju?
Benar, saya sudah menulis ratusan puisi berbanding 43 cerpen. Saya cenderung kepada puisi bukan disebabkan ia mudah, sebaliknya dekat dengan diri sehingga saya dapat menghasilkannya pada bila-bila masa. Apabila ada isu atau peristiwa yang menyentuh naluri kepenyairan, saya boleh terus menulisnya. Saya akui kadang-kala mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan sesebuah puisi.

Bagaimanakah proses kreatif Hasyuda?
Saya mencatatkan apa yang dilihat dan rasa dalam buku nota sebelum menaip catatan itu di mesin taip. Saya boleh menulis di tempat yang bising tetapi proses menjernihkan karya memerlukan saya mencari tempat yang tidak menerima gangguan orang lain.

Apakah Hasyuda menunggu atau mencari ilham?
Saya mencari ilham tanpa perlu menanti ia datang. Tugas saya di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan saya sering berada di luar bandar, sekali gus meluaskan pandangan. Saya pernah dihantar ke sebuah pulau di Kota Belud dan bertemu dengan penduduk bagi mengetahui masalah kehidupan mereka. Saya cuba menyelami kesukaran hidup mereka sehingga ada yang terpaksa meredah laut semata-mata untuk ke hospital atau tercedera akibat menggunakan bom ikan.

Apakah tema karya Hasyuda?
Walaupun saya tidak mengehadkan tema tertentu dalam karya tetapi saya lebih selesa untuk mengetengahkan unsur Islam. Ini boleh dilihat dalam kebanyakan kumpulan puisi saya seperti Akar Cahaya, Datang Kemabli, Menginai Badai, Kitab Sehabis Peristiwa dan dalam proses penerbitan, Sinar Sirna.

Mengapakah Hasyuda mengangkat tema Islam?
Saya menjadikan karya sastera sebagai usaha dakwah. Saya memperlihatkan sastera Islam berupaya membentuk peribadi penulis dan penyair, sekali gus diangkat sebagai cermin kehidupan kepada pembaca. Saya banyak terpengaruh dengan guru saya, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala dan Suhaimi Muhammad. Di Sabah, sastera berunsur Islam menjadi pilihan utama penyair.

Bagaimanakah Hasyuda memperlihatkan isu antarabangsa dalam puisi?
Saya menyorot nasib umat Islam terutama di Asia Barat yang terbabit dalam peperangan dan penderitaan orang awam. Puisi Menghidu Bisikan Api umpamanya, cuba mendekati peristiwa selepas Iraq menyerang Kuwait. Selain itu, saya turut merakam penderitaan umat Islam di Palestin.

Bagaimanakah proses penerbitan karya sastera di Sabah?
Selain tiga akhbar Inggeris yang menyediakan sisipan berbahasa Melayu dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ada kecenderungan untuk penulis menerbitkan buku. Bagi mengatasi beban kos, penerbitan buku dibuat secara bersama dengan menghasilkan antologi puisi. Penerbitan ini selalunya diadakan sempena Mahrajan Sastera Islam dan Randau Puisi. Tahun ini saja, sepuluh buku diterbitkan bagi menyemarakkan sastera di Sabah.

Apakah penulis memanfaatkan media internet?
Ada rangsangan untuk penulis mewujudkan laman web dan blog bagi menyalurkan karya mereka. Penulis Sabah juga berhubung secara maya dalam Kelab Maya Sastera Sabah. Penulisan di blog pula memantapkan cara berfikir di kalangan penulis tetapi masih baru di kalangan penulis Sabah. Saya sendiri menulis di blog http://hasyuda-abadi.blogspot.com/.

Apakah cita-cita Hasyuda dalam dunia sastera?
Saya mahu menulis hingga akhir hayat. Moto penulisan saya ialah menulis sebagai ibadat. Selain itu, saya mahu memperbanyakkan penerbitan buku kerana penulis yang tidak menghasilkan buku, sebenarnya belum wajar diiktiraf sebagai penulis.